BANJIR YANG BERTERUSAN — Teguran Yang Harus Diambil Peduli Oleh Semua Negeri

Sumber bagi gambar banjir dalam grafik: The Star

Teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung situasi banjir yang berterusan di Selangor tidak seharusnya dilihat sebagai kebimbangan terpencil, tetapi sebagai amaran untuk semua kerajaan negeri di seluruh Malaysia.

Banjir telah menjadi cabaran yang semakin kerap dan teruk di banyak bahagian di negara ini, dari pusat bandar hinggalah kepada masyarakat luar bandar. Walaupun jaminan berulang dari pihak kerajaan, peruntukan belanjawan dan pengumuman dasar, realiti di lapangan menunjukkan bahawa usaha tebatan banjir sering kali tidak mencapai jangkaan. Akibatnya banyak beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia lanjutan daripadarumah dan harta-benda yang rosak, mata pencarian yang terganggu, kos sara hidup yang meningkat, dan kekecewaan orang ramai yang semakin meningkat.

Pendirian tegas Sultan menyerlahkan perkara kritikal: pengurusan banjir tidak boleh kekal sebagai perkara bermusim yang reaktif. Ia menuntut kemahuan politik yang berterusan, tadbir urus yang cekap, dan perancangan berasaskan sains jangka panjang. Cadangan baginda sebelum ini untuk mendapatkan kepakaran daripada negara seperti Belanda, yang terkenal dengan sistem pengurusan airnya yang canggih, menunjukkan keperluan untuk Malaysia terbuka kepada amalan terbaik global dan bukannya bergantung semata-mata pada pendekatan domestik yang terpisah-pisah.

Semua kerajaan negeri kini mestilah mengambil tanggungjawab kolektif untuk:

  • Mengutamakan strategi pengurusan banjir bersepadu yang menggabungkan peningkatan infrastruktur, pengurusan lembangan sungai, dan perancangan guna tanah;
  • Memulihkan dataran banjir, memandangkan mengalihkan atau mencerobohnya cenderung memburukkan lagi banjir, dan memastikan rizab sungai berfungsi sebagai margin perlindungan antara aktiviti manusia dan sungai;
  • Memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam penggunaan dana yang diperuntukkan untuk tebatan banjir;
  • Mengukuhkan penyelarasan antara pihak berkuasa persekutuan, negeri dan tempatan untuk mengelakkan pertindihan dan ketidakcekapan;
  • Mempercepatkan penggunaan teknologi moden, sistem data, dan penyelesaian berdaya tahan iklim;
  • Melibatkan komuniti secara bermakna dalam usaha kesiapsiagaan dan tindak balas.

Sama pentingnya ialah keperluan mendesak untuk menangani kemerosotan alam sekitar, seperti penebangan hutan, pemotongan bukit, dan pembangunan tidak terkawal, yang terus memburukkan lagi risiko banjir di seluruh negara.

Arahan untuk membersihkan Sungai Klang seterusnya mencerminkan sifat saling berkaitan antara tebatan banjir dan pengurusan sumber air. Sungai yang bersih dan diselenggara dengan baik bukan sahaja penting untuk bekalan air tetapi juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan limpahan dan meningkatkan kapasiti saliran.

Pada dasarnya, seruan ini mestilah turut bergema di luar negeri Selangor. Setiap negeri di Malaysia harus menganggapnya sebagai peringatan bahawa kos tidak bertindak adalah jauh lebih besar daripada pelaburan yang diperlukan untuk melaksanakan penyelesaian yang berkesan. Masanya telah tiba untuk tindakan tegas, diselaraskan dan berorientasikan keputusan untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan daya tahan negara.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 27 April 2026