
Kami, mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO), ingin memberi pandangan terhadap kenyataan Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Saarani Mohamad baru-baru ini semasa Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 bahawa Kerajaan Negeri menetapkan hanya kira-kira tiga peratus atau 32,375 hektar daripada keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebagai Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH).
Kami berpendapat bahawa Kerajaan Negeri perlu mematuhi ketetapan Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 pada 2 Disember 2022 yang memutuskan pelaksanaan moratorium bagi kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia.
Bagi mematuhi ketetapan MTN ke-79, kami menggesa Kerajaan Negeri Perak membatalkan dua cadangan projek pembangunan ladang hutan dalam HSK iaitu seluas kira-kira 4,280 hektar dan seluas kira-kira 2,020 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong (HS Kledang Saiong) dalam Daerah Kuala Kangsar.
Justifikasi agensi teknikal dan penggerak projek hendak melaksanakan projek pembangunan ladang hutan di HS Kledang Saiong ialah disebabkan kawasan yang dikenal pasti adalah kononnya hutan terosot sedangkan berdasarkan kepada Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), kedua-dua kawasan cadangan projek adalah kaya dengan kepelbagaian biologi.
Agensi teknikal dan penggerak projek hanya mentakrifkan sesuatu kawasan hutan itu terosot kerana tidak lagi mempunyai dirian pokok komersial sedangkan faktor yang menjadikan hutan terosot adalah berpunca daripada manusia iaitu kelemahan pengurusan hutan.
Disamping itu, kami menyanggah kenyataan YAB Menteri Besar Perak bahawa pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam HSK mampu menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.
Dapatan daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 – Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar mendapati pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam HSK kurang memuaskan terutama impak terhadap alam sekitar.
Oleh itu, kami berharap Kerajaan Negeri Perak akur dan menerima pakai ketetapan MTN ke-79 serta membatalkan dua cadangan projek ladang hutan di HS Kledang Saiong.
Kenyataan Media ini dikeluarkan oleh:
1. Sahabat Alam Malaysia (SAM);
2. Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS);
3. Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA);
4. Persatuan Penggerak Bumi Hijau Malaysia (GEMS);
5. Greenpeace Malaysia;
6. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA);
7. Sahabat Ekologi Perak (SEP);
8. Jaringan Menyelamatkan Hutan Kledang Saiong; dan
9. Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Rambai Tujuh
Kenyataan Media, 28 April 2026

