CAP Gesa Hakisan Sungai Nenggiri Di Gua Musang, Kelantan, Ditangani Segera

Beginilah keadaan Sungai Nenggiri di Gua Musang yang mengalami hakisan. Foto NSTP/Paya Linda Yahya

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera berhubung aktiviti mengorek pasir di Sungai Nenggiri yang menyebabkan berlaku hakisan tebing sungai tersebut.

Mengulas laporan akhbar tempatan hari ini (Berita Harian, 8 Mei 2026 ), CAP kesal dan bimbang dengan kejadian itu kerana ia boleh mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk-penduduk kampung berhampiran dengan lebih serius lagi pada masa akan datang jika masalah itu berterusan.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bertam Lama, Mohd Azhri Hasan, 57, aktiviti ini yang mula beroperasi sejak lebih enam bulan yang lalu ini juga turut menjejaskan jalan kampung berkenaan akibat dilalui kenderaan berat yang mengangkut pasir di kawasan tersebut.

Selain itu, lebih 1,000 penduduk Kampung Bertam Lama di sini juga bimbang kerana pam pasir yang beroperasi di kawasan itu terletak kira-kira 500 meter dari tanah perkuburan. Mohd Azhri berkata, penduduk di sini tidak pernah dimaklumkan tentang pembukaan lokasi mengepam dan mengorek pasir berhampiran kampung mereka.

Di samping berlaku hakisan tebing sungai dan kerosakan jalan di kampung berkenaan, CAP percaya jika keadaan ini tidak ditangani segera bukan saja tanah perkuburan akan terancam tetapi kawasan pertanian juga mungkin terhakis serta pelbagai spesies hidupan dalam sungai tersebut akan pupus dalam jangka masa terdekat.

Justeru itu CAP berharap pihak berkenaan menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap isu ini dan kajian semula perlu dilakukan bagi menjamin supaya alam sekitar tidak tergugat dan kehidupan penduduk-penduduk kampung yang terlibat tidak terkesan oleh aktiviti mengorek dan mengepam pasir di kawasan berkenaan.

CAP menegaskan, tebing Sungai Nenggiri yang mengalami hakisan dan jalan yang rosak di Kampung Bertam Lama perlu dibaiki segera demi keselamatan dan keselesaan penduduk-penduduk kampung di sini

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 8 Mei 2026