Program Meningkatkan Kesedaran Asbestos CAP di Sungai Siput, Perak

Manivelu berkongsi pengalamannya semasa bekerja di sebuah kilang menghasilkan produk yang mengandungi asbestos pada masa lalu.

Pada 9 Mei 2026, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menganjurkan program meningkatkan kesedaran mengenai asbestos di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gandhi Kalasalai, Sungai Siput, Perak. Seramai 39 peserta menghadiri program itu yang terdiri daripada 15 lelaki dan 24 perempuan. Lima belia juga turut menyertai program itu, yang menambah nilai dan menjadikan sesi kesedaran lebih berkesan.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pengetahuan asas mengenai asbestos dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai bahaya pendedahan asbestos.

Saraswathi Devi Odian memberi taklimat kepada peserta mengenai risiko asbestos.

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta, diikuti dengan sesi kecil perkongsian ilmu herba, sementara menunggu peserta lain tiba. Kemudian, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Theeban Gunasekaran, Pegawai Pendidikan CAP. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada para peserta kerana mengambil inisiatif menghadiri program itu dan menimba ilmu mengenai isu berkaitan asbestos.

Ini diikuti dengan ucapan perasmian oleh Mageswari Sangaralingam, Ketua Eksekutif CAP, yang memberikan pengenalan ringkas mengenai asbestos dan menekankan kepentingan kesedaran awam mengenai isu itu.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian penting oleh aktivisCAP, Manivelu, yang bercakap mengenai pengalaman kerjanya di sebuah kilang yang menghasilkan bahan asbestos. Beliau berkongsi bahawa pekerja di kilang itu tidak dimaklumkan mengenai risiko kesihatan yang berkaitan dengan pendedahan asbestos. Beliau juga mendedahkan bahawa kebanyakan bekas rakan sekerjanya telah meninggal dunia, yang kini membuatnya sangat bimbang mengenai keadaan kesihatannya sendiri kerana beliau juga terdedah kepada asbestos di tempat kerjanya. Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada bekas rakan sekerjanya meninggal dunia akibat penyakit berkaitan asbestos.

Salah seorang peserta berkongsi pandangannya mengenai program kesedaran asbestos.

Manivelu seterusnya menjelaskan bahawa kilang itu menyediakan kemudahan dobinya sendiri di mana pakaian seragam pekerja dicuci secara dalaman dan tidak dibenarkan dibawa pulang. Pada masa itu, beliau tidak memahami sebab di sebalik peraturan itu, tetapi beliau kini menyedari bahawa ia dilaksanakan untuk mengelakkan serat asbestos merebak di luar kilang, kerana serta itu sangat berbahaya apabila terhidu atau terdedah kepada individu.

Selepas sesi perkongsian, CAP mengedarkan buku bertajuk, “Asbestos Mengancam Nyawa: Haramkan Krisotil Sekarang” kepada para peserta. Buku-buku itu boleh didapati dalam empat bahasa (Tamil, Inggeris, Melayu dan Cina) untuk memastikan pemahaman yang lebih baik dalam kalangan orang ramai.

Seorang peserta belajar mengenai asbestos daripada bahan pameran dan poster CAP.

Ceramah itu kemudiannya diteruskan oleh Saraswathi Devi Odian, Pegawai Pendidikan CAP. Beliau menerangkan secara terperinci apa itu asbestos dan mengapa ia digunakan secara meluas pada masa lalu, membolehkan peserta memperoleh pemahaman yang lebih jelas mengenai topik itu. Memandangkan kebanyakan peserta adalah suri rumah dan lelaki yang sudah bersara, beliau memberi tumpuan terutamanya kepada pendedahan asbestos bukan di tempat kerja. Beliau menjelaskan bahawa orang ramai masih boleh terdedah kepada asbestos semasa pengubahsuaian rumah, melalui mencuci pakaian pekerja dan daripada bahan binaan lama seperti bumbung, siling dan struktur rumah lain.

Saraswathi juga menekankan bahawa produk berasaskan talkum tertentu mungkin mengandungi asbestos. Maklumat ini mengejutkan ramai peserta, terutamanya wanita yang kerap menggunakan bedak talkum, pembayang mata dan produk kosmetik seumpamanya yang mungkin mengandungi asbestos dan menyumbang kepada risiko kesihatan yang serius. Beliau seterusnya mendidik peserta mengenai cara untuk mengelakkan bahaya asbestos dan berkongsi langkah praktikal yang boleh diambil orang ramai untuk melindungi diri dan keluarga mereka daripada pendedahan.

Secara keseluruhannya, ‘Program Peningkatan Kesedaran Pengguna mengenai Asbestos’ mencipta impak positif dalam kalangan peserta kerana mereka mendapat pemahaman dan kesedaran yang lebih baik mengenai bahaya pendedahan asbestos. Program kesedaran ini penting bukan sahaja untuk peserta yang hadir, tetapi juga untuk orang ramai, kerana semua orang berhak dimaklumkan mengenai bahaya asbestos.

CAP kekal komited untuk mendidik masyarakat mengenai isu ini dan jika sesiapa berminat dengan program peningkatan kesedaran mengenai asbestos, sila hubungi Persatuan Pengguna Pulau Pinang di talian 04-8299511 atau hantarkan e-mel kepada kami diinfo@consumer.org.my.