Pentingnya Bergerak Setiap Hari

Kehidupan moden mengajar kita untuk menganggap pergerakan sebagai sesuatu yang terpisah daripada kehidupan seharian. Ia dilihat sebagai sesi senaman yang dijadualkan. Kelas  yang disertai. Sasaran langkah yang cuba dicapai setelah tenaga habis digunakan sepanjang hari.

Namun, di kawasan yang penduduknya mempunyai jangka hayat paling panjang, pergerakan jarang dianggap sebagai satu tugasan dalam kalendar. Ia merupakan sebahagian daripada rutin harian. Kebun perlu diuruskan; hidangan perlu disediakan.

Kediaman jiran pula cukup dekat untuk dikunjungi dengan berjalan kaki.

Lantai, tangga, lereng bukit, pasar, dapur, dan kediaman itu sendiri sentiasa melibatkan pergerakan tubuh. Inilah salah satu pengajaran penting namun tidak disedari daripada konsep “Blue Zones”. Golongan yang paling panjang usia di dunia tidak semestinya menghabiskan masa mereka di gimnasium. Mereka menjalani kehidupan di dalam persekitaran yang mengekalkan budaya pergerakan fizikal secara berterusan.

Kehidupan moden membawa kesan sebaliknya. Ia menyingkirkan pergerakan daripada rutin harian kita, kemudian menyuruh kita mengatasi masalah itu dengan bersenam selama 30 minit. Anda boleh memandu ke tempat kerja, duduk hampir sepanjang hari, duduk semasa makan, duduk untuk membalas mesej, dan kemudian duduk berehat pada waktu malam dan menganggapnya sebagai satu bentuk pemulihan.

Memang ada kalanya rehat sebenar itulah yang anda perlukan. Namun, apabila duduk menjadi posisi utama dalam hidup anda, menambah masa duduk bukanlah jenis pemulihan yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh anda. Adakalanya, tubuh anda memerlukan peredaran darah yang lancar. Memerlukan cahaya matahari. Memerlukan regangan pada bahagian pinggul. Memerlukan pergerakan kaki. Memerlukan otot-otot untuk mengingat bahawa ia masih diperlukan.

Sistem biologi anda tidak dicipta untuk kehidupan di mana pergerakan menjadi sesuatu yang jarang berlaku. Ia dicipta untuk aktiviti yang konsisten dan semula jadi sepanjang hari. Aktiviti yang membantu mengawal paras gula dalam darah selepas makan. Aktiviti yang mencegah sendi daripada menjadi kaku akibat kurang pergerakan. Aktiviti yang membantu mengekalkan keseimbangan, kekuatan, postur, keupayaan berdikari, dan keyakinan diri seiring dengan peningkatan usia.

Inilah sebabnya mengapa pengajaran daripada konsep “Blue Zones” begitu penting. (“Blue Zone” ialah wilayah di dunia yang penduduknya menikmati kehidupan yang sangat panjang dan sihat, menjangkau usia lebih 100 tahun.) Konsep ini tidak menghukum anda jika anda terlepas sesi senaman. Ia mengingatkan anda bahawa proses penuaan yang sihat turut dibentuk oleh aktiviti fizikal ringan yang dituntut oleh kehidupan seharian anda. Seperti mengangkat sesuatu. Berjalan ke sesuatu tempat. Menghulurkan tangan, membongkok, menyapu, berkebun, memanjat, memasak, berdiri, meregangkan badan, serta bangun dan duduk.

Bukan sebagai satu hukuman. Bukan sekadar untuk membakar kalori. Bukan juga satu lagi perkara yang perlu dilakukan dengan sempurna. Sebaliknya, ia adalah satu cara untuk mengekalkan hubungan dengan tubuh yang menjadi tempat tinggal diri anda. Kerana persoalannya bukan sekadar: “Adakah saya bersenam hari ini?” Malah ia juga mengenai: “Adakah tubuh saya turut serta menjalani kehidupan saya pada hari ini?”

Itu mungkin salah satu sebab mengapa budaya masyarakat yang paling panjang usia di dunia mengalami proses penuaan dengan cara yang berbeza. Mereka bergerak bukan kerana mengejar tahap kecergasan fizikal semata-mata. Mereka bergerak kerana kehidupan itu sendiri sentiasa menuntut pergerakan itu.

– kisah dan gambar daripada The Art of Anti-Aging