Kecemasan Iklim Cetus “Perubahan Besar” terhadap Lautan

“Lautan sedang berubah di depan mata kita: Pemanasan, kenaikan paras laut, dan kemerosotan ekosistem merupakan tanda-tanda yang saling berkait bagi perubahan yang ketara dan berjangka panjang.”

Laporan tahunan ke-10 Copernicus Ocean State Report, yang diterbitkan baru-baru ini oleh sekumpulan lebih daripada 100 saintis antarabangsa, memberikan peringatan terkini bahawa seperti yang dinyatakan oleh seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), “lautan merupakan salah satu petunjuk paling jelas mengenai peralihan besar” yang dicetuskan oleh krisis iklim.

Data yang dikumpul oleh Mercator Ocean International, sebuah pertubuhan yang tidak mengambil untung yang menghasilkan laporan itu mendedahkan bahawa, “lautan sedang mengalami pemanasan pada kadar yang membimbangkan, dengan kesan meluas terhadap hidupan marin, kawasan pesisir pantai, dan komuniti di seluruh dunia,” menurut kumpulan itu.

Kajian ini menyampaikan “amaran paling tegas setakat ini” daripada para saintis lautan mengenai perubahan besar yang melanda lautan, pada masa fenomena El Nino yang mungkin belum pernah berlaku sebelum ini sedang terbentuk di Lautan Pasifik, kata Mercator. Kenyataan ini merujuk kepada trend pemanasan semula jadi yang dijangka menjadi lebih hebat pada tahun ini akibat pemanasan planet.

Berdasarkan data selama empat dekad yang diperoleh daripada satelit, pelampung, penderia, dan pemodelan, para saintis mendapati bahawa 2024 menyaksikan gelombang haba marin yang memecahkan rekod, serta satu peristiwa penurunan paras laut ekstrem yang belum pernah berlaku sebelum ini. Peristiwa ini menyebabkan paras air di Teluk Bothnia, yang terletak di antara Sweden dan Finland, menjunam sebanyak 60 inci (kira-kira 152 cm), sekali gus menghentikan operasi feri selama 18 jam.

Gelombang haba di Laut Mediterranean dan Laut Hitam berlarutan selama lebih daripada 30 hari dan menyebabkan suhu air meningkat lebih daripada 8.3°F (4.6°C) melebihi purata.

“Ini bukanlah kejadian panas yang terpencil; sebaliknya, ia berlaku dengan latar belakang pemanasan lautan yang berterusan, yang mengubah keadaan persekitaran yang dialami oleh ekosistem marin,” ujar Blanca Fernandez-Alvarez, salah seorang penulis laporan itu.

Gelombang haba di Laut Mediterranean dan Laut Hitam berlarutan selama lebih 30 hari dan menyebabkan suhu air meningkat lebih daripada 8.3°F (4.6°C) melebihi purata.

“Ini bukanlah kejadian panas yang terpencil; ia berlaku dengan berlatarbelakangkan pemanasan lautan yang berterusan, yang mengubah keadaan persekitaran bagi ekosistem marin,” kata Blanca Fernandez-Alvarez, salah seorang penulis laporan dan penyelidik bersama di Mediterranean Institute for Advanced Studies, kepada CNN.

Namun, selain peristiwa-peristiwa ekstrem yang didokumentasikan dalam laporan itu, para saintis mendapati trend yang jelas dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda termasuk kerosakan berterusan terhadap hidupan marin akibat pemanasan lautan yang dicetuskan oleh aktiviti pengekstrakan minyak dan gas yang terus berlanjutan.

Negara-negara pulau kecil adalah antara negara yang paling kurang bertanggungjawab terhadap pelepasan karbon yang menyebabkan penyerapan haba ke tahap rekod oleh lautan  berdepan dengan “tekanan bertindih” yang semakin buruk termasuk kenaikan paras laut yang boleh melenyapkan komuniti pesisir pantai dan pulau, serta ancaman yang semakin meningkat daripada siklon tropika yang lebih dahsyat.

Menurut laporan itu lagi, sepanjang tiga dekad yang lalu, “penyusunan semula ekosistem marin yang berterusan di seluruh dunia” telah terbukti dengan jelas melalui perubahan berterusan dalam corak pertumbuhan fitoplankton, organisma yang menyokong jaringan makanan dan aliran karbon di hampir 5% kawasan lautan.

Tekanan haba juga turut menyumbang kepada pelunturan karang di 84% terumbu karang di seluruh dunia, sekali gus mengancam ekosistem marin serta komuniti pesisir pantai yang bergantung pada terumbu karang untuk perlindungan dan sektor pelancongan.

“Lautan sedang berubah di depan mata kita: Pemanasan, kenaikan paras laut, dan kemerosotan ekosistem merupakan tanda-tanda yang saling berkait bagi perubahan yang ketara dan berjangka panjang,” kata Pierre Bahurel, Ketua Pengarah Mercator Ocean International.

Memandangkan manusia terus membebaskan karbon dan gas rumah hijau lain walaupun terdapat amaran daripada pakar tenaga dan saintis, kadar pemanasan lautan telah meningkat dua kali ganda sejak dua dekad yang lalu. Hal ini menyebabkan suhu permukaan laut melonjak ke paras tertinggi yang pernah direkodkan pada 2023, 2024, dan tahun ini.

Menurut laporan itu lagi, pada 2025, lautan telah menyerap tambahan 23 zetajoule tenaga iaitu kira-kira 40 kali ganda jumlah tenaga yang digunakan oleh seluruh dunia pada tahun lepas. Penyerapan tenaga ini setara dengan letupan 12 bom atom setiap saat sepanjang satu tahun.

Purata aras laut global meningkat sebanyak 3.8 ± 0.3 milimeter setiap tahun antara 1999 hingga 2025, manakala tahap keasidan lautan telah meningkat kira-kira 17% sejak empat dekad yang lalu, sekali gus mendatangkan kemusnahan kepada ekosistem bawah air yang penting.

Peter Thomson, Utusan khas Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Lautan, menegaskan bahawa bahaya terhadap lautan dunia akibat penerusan pengekstrakan bahan api fosil telah didedahkan dengan jelas melalui laporan-laporan Mercator sepanjang 10 tahun yang lalu, serta amaran-amaran lain daripada golongan saintis.

“Apa yang ditunjukkannya kepada kita adalah jelas dan tidak boleh disangkal: Lautan sedang berubah, dan perubahan itu menjejaskan kehidupan, punca rezeki, serta keselamatan manusia di mana-mana sahaja,” kata Thomson. “Kita mempunyai pengetahuan. Kita mempunyai bukti. Kini, kita memerlukan kemahuan politik untuk bertindak.”

Sumber: Common Dreams (30 September 2026)