Satu laporan media baru-baru ini menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memantau sendiri projek kediaman pelajar Universiti Malaya (UM). Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menghargai keprihatinan Perdana Menteri untuk memastikan projek itu disiapkan tanpa sebarang kelewatan; namun, beliau tidak seharusnya memantau perkembangan projek ini memandangkan beliau mempunyai banyak isu mendesak, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, yang perlu ditangani.
Kebimbangan Anwar mengenai lebihan kos, ketirisan, projek terbengkalai, arahan perubahan kerja, dan pengurusan projek yang lemah adalah berasas. Projek UM ini wajar dijadikan model pembangunan yang bersih, cekap, dan bebas rasuah.
Walau bagaimanapun, projek ini sepatutnya dipantau oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama pihak pengurusan UM, agensi pelaksana yang berkaitan, serta pihak berkepentingan lain. Semua pihak mesti bertanggungjawab atas peranan masing-masing dan memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual. Memandangkan projek ini berada di bawah bidang kuasanya, Kementerian yang berkenaan mestilah bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang kekurangan dalam aspek pemantauannya.
Jadual kerja yang jelas, disokong oleh Carta Gantt, perlu diwujudkan, dengan menetapkan pencapaian penting dan tarikh siap bagi setiap fasa. Kemajuan kerja mesti dipantau secara berkala supaya sebarang kelewatan atau penyimpangan daripada jadual dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan pembetulan boleh diambil dengan segera.
Kontraktor yang gagal memenuhi tarikh akhir yang dipersetujui tanpa alasan yang sah mestilah dipertanggungjawabkan mengikut terma kontrak mereka. Jika berkenaan, ganti rugi tertentu (liquidated damages) perlu dikenakan bagi kelewatan yang berlaku tanpa alasan yang sah untuk pelanjutan masa. Sekiranya kontraktor tidak mampu melaksanakan kerja, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera untuk menggantikan mereka, jika perlu, bagi mengelakkan kelewatan yang lebih lanjut.
Selain itu, penyeliaan pembinaan yang ketat dan kawalan kualiti mestilah dikekalkan sepanjang tempoh projek. Langkah-langkah penjimatan kos tidak boleh menjejaskan kualiti bangunan, keselamatan struktur, mahupun keselesaan hidup para pelajar yang akan mendiami kediaman itu.
CAP menegaskan bahawa projek awam mestilah diuruskan dengan cekap, telus, dan penuh akauntabiliti. Kementerian yang berkaitan serta pengurus projek perlu memastikan projek disiapkan mengikut jadual, dalam lingkungan belanjawan, dan memenuhi piawaian yang ditetapkan, tanpa memerlukan campur tangan peribadi daripada Perdana Menteri. CAP turut menekankan bahawa, tidak kira sama ada sesuatu projek dibiayai oleh dana awam atau swasta, semua pihak wajib mematuhi terma kontrak sebagai prinsip asas pengurusan projek yang baik.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 28 Oktober 2026


