Satu Daripada Empat Cat Yang Diuji di Malaysia Melebihi Had Plumbum Selamat; Industri dan Kumpulan Pengguna Sokong Piawaian Mandatori

Kajian baharu menemui kandungan plumbum sehingga kira-kira 1,100 kali ganda had selamat; gabungan menggesa piawaian sukarela Malaysia dijadikan mandatori

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 — Satu daripada empat cat kediaman yang diuji di Malaysia mengandungi plumbum melebihi had selamat yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu 90 bahagian per sejuta (ppm), menurut kajian pasaran baharu yang dikeluarkan hari ini oleh Lead Exposure Elimination Project (LEEP), Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Pembuat Cat & Salutan Malaysia (MPCMA).

Kajian tersebut menguji 122 sampel cat hiasan daripada 31 pengeluar, yang dibeli dari peruncit, kedai perkakasan dan platform dalam talian di Semenanjung dan Malaysia Timur. Sebanyak 31 sampel (25.4%) melebihi 90 ppm, manakala 15 daripada 31 pengeluar menjual sekurang-kurangnya satu cat yang melebihi had tersebut. Bacaan tertinggi, pada cat berwarna kuning, mencecah kira-kira 99,000 ppm, iaitu kira-kira 1,100 kali ganda had selamat. Paras plumbum paling tinggi ditemui dalam cat berasaskan minyak dan cat aerosol, terutamanya bagi warna kuning dan merah.

Lebih 70% daripada cat yang melebihi had tidak mempunyai sebarang maklumat plumbum pada tin.

Malaysia memperkenalkan piawaian sukarela MS 2762 pada 2022, yang menetapkan had 90 ppm bagi kandungan plumbum dalam cat hiasan. Pematuhan terhadap piawaian ini tidak diwajibkan oleh undang-undang. Peratusan cat berplumbum tinggi telah menurun berbanding kajian CAP pada 2016 dan 2022, dan beberapa pengeluar telah berjaya mengubah formulasi produk mereka. Namun, dapatan baharu menunjukkan tindakan secara sukarela semata-mata belum berjaya menyingkirkan cat berplumbum daripada pasaran Malaysia.

Gabungan ini menggesa agar MS 2762 dijadikan mandatori.

Oleh kerana alternatif bebas plumbum sudah tersedia secara komersial, kos piawaian mandatori adalah kecil. Penilaian Impak Peraturan (RIA) bebas yang ditauliahkan oleh LEEP menganggarkan bahawa anggaran jumlah kos kepada industri dan Kerajaan sekitar AS$11 juta dalam tempoh 20 tahun pada nilai semasa, iaitu lebih rendah daripada kemudaratan cat berplumbum dalam tempoh setahun, walau bagaimana pun ia dikira. Walaupun berdasarkan senario konservatif penilaian ini, manfaat kesihatan dan produktiviti melebihi kos tersebut dengan nisbah 4,059 berbanding satu.

Angka-angka ini ialah anggaran awal berasaskan model. Belum ada kajian di Malaysia yang mengukur sejauh mana pendedahan plumbum berpunca daripada cat, maka penilaian ini menggunakan anggaran utama sebanyak 15%, yang diperoleh melalui triangulasi bukti daripada UNEP, WHO dan IHME, serta senario konservatif sebanyak 10% atribusi kepada cat berplumbum. Manfaat akan direalisasikan secara beransur-ansur apabila cat yang mematuhi piawaian menggantikan cat lama.

Pendedahan kepada plumbum menyebabkan kerosakan kekal pada perkembangan otak kanak-kanak, sekali gus menjejaskan pencapaian pendidikan dan pendapatan sepanjang hayat mereka. Bagi orang dewasa, ia dikaitkan dengan tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Gejalanya sering ringan atau tidak kelihatan, menyebabkan pendedahan kerap tidak dikesan. Cat berplumbum menjadi bahaya apabila semakin usang, kerana ia terurai menjadi habuk dan serpihan yang boleh tertelan atau tersedut oleh kanak-kanak.

Mageswari Sangaralingam, Ketua Eksekutif Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang, berkata, “Pendedahan kepada plumbum, walaupun pada tahap rendah, merupakan risiko serius kepada kesihatan manusia, terutamanya kanak-kanak yang otaknya masih berkembang dan amat mudah terjejas. Cat berplumbum terurai menjadi habuk dan serpihan yang mudah tertelan atau tersedut, selalunya tanpa disedari, lalu menyebabkan kemudaratan kognitif dan fizikal sepanjang hayat. Kami telah menguji dan mendapati plumbum dalam cat di Malaysia selama berdekad. Sudah tiba masanya piawaian sukarela ini dijadikan mandatori.”

Prescilla Ngan, Setiausaha Kehormat, MPCMA, berkata, “Ramai pengeluar Malaysia telah beralih kepada pengeluaran bebas plumbum, membuktikan bahawa cat yang selamat, berkualiti tinggi dan mampu milik boleh dihasilkan di dalam negara. MPCMA menyokong agar had 90 ppm dijadikan mandatori, dengan tempoh peralihan yang munasabah, supaya setiap pengeluar bersaing secara adil dan setiap pengguna dilindungi. Pengeluar yang bertanggungjawab tidak sepatutnya dirugikan oleh pihak yang masih menggunakan plumbum.”

Ivan Mahardika, Pengurus Program LEEP, berkata, “Buktinya sudah jelas, begitu juga penyelesaiannya. Malaysia sudah pun mempunyai hala tuju yang tepat melalui MS 2762. Menjadikannya mandatori ialah langkah yang akan melindungi generasi kanak-kanak Malaysia akan datang. LEEP akan terus menyokong Kerajaan dalam usaha ini, dan kami menawarkan bantuan teknikal secara percuma kepada mana-mana pengeluar yang ingin mengubah formulasi produk mereka.”

Kajian ini dikeluarkan sempena kempen LEEP bagi Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa. Dapatan penuh kajian boleh diakses di leadelimination.org/Malaysia-Paint-Study-2026

Tentang kajian: LEEP telah membeli 122 sampel cat hiasan, termasuk cat berasaskan minyak, cat berasaskan air dan cat semburan, dari peruncit, kedai perkakasan dan platform e-dagang di Semenanjung dan Malaysia Timur. Jika ada, warna putih, kuning dan merah dipilih bagi setiap jenama. Sampel ini merangkumi sekurangkurangnya 85% pasaran cat hiasan Malaysia. Sampel cat yang telah dikeringkan dianalisis oleh Wisconsin Occupational Health Laboratory (WOHL), yang diakreditasi di bawah ISO/IEC 17025 dan ISO/IEC 17043 serta oleh American Industrial Hygiene Association di bawah US EPA Environmental Lead Laboratory Accreditation Program. WOHL mencerna sampel dalam asid dan mengukur jumlah kandungan plumbum menggunakan spektrometri pancaran optik plasma gandingan induktif (ICP-OES), berdasarkan Kaedah NIOSH 7303. Keputusan dilaporkan dalam ppm berat kering.

Tentang RIA: Penilaian Impak Peraturan bebas LEEP menganggarkan kos dan manfaat menjadikan MS 2762 mandatori bagi tempoh 20 tahun. Ia mengenal pasti Akta Perihal Dagangan 2011 sebagai laluan paling langsung, dengan Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sebagai langkah pelengkap. Penilaian ini membentangkan analisis LEEP dan tidak mewakili pendirian mana-mana kementerian atau agensi Kerajaan.

Tentang LEEP: Misi LEEP ialah menamatkan keracunan plumbum dalam kalangan kanak-kanak. Kami bekerja di seluruh dunia untuk menghapuskan pendedahan plumbum pada puncanya, bermula dengan mengenal pasti kelaziman plumbum melalui kajian pasaran, menyokong kerajaan memperkenalkan dan menguatkuasakan peraturan plumbum, serta membantu industri beralih kepada alternatif bebas plumbum.

Tentang CAP: Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) ialah pertubuhan advokasi pengguna dan kepentingan awam Malaysia yang memberi tumpuan kepada hak pengguna, kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan pembangunan mampan.

Tentang MPCMA: Persatuan Pembuat Cat & Salutan Malaysia (MPCMA) ialah persatuan industri utama yang mewakili pengeluar cat dan salutan di Malaysia, dengan menyokong piawaian industri, kerjasama teknikal dan penglibatan dalam hal ehwal peraturan.

Klik di sini untuk versi PDF:
https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2026/10/261027-Press-Release.pdf

 

Siaran Media, 27 Oktober 2026