2,000 PENDUDUK CHUPING RESAH DIANCAM HABUK: CAP

Lebih kurang 2,000 penduduk yang tinggal berhampiran kilang simen di Chuping, Perlis terjejas kehidupan mereka berikutan pencemaran habuk yang berpunca dari kerja-kerja meletup dan memecah batu di kawasan kuari di sini serta memproses simen di kilang tersebut.

Masalah yang berlarutan sejak lebih 30 tahun yang lalu itu melibatkan Kampung Binjal, Kampung Balik Bukit, Taman Perumahan 20 dan Taman Perumahan 21. Keadaan ini lebih serius berlaku pada musim kering dan ketika angin kencang di mana penduduk yang tinggal lebih jauh akan turut terancam.

Tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati selain penduduk kampung dan penghuni taman perumahan yang diancam habuk, masalah pencemaran tersebut turut menjejaskan para peniaga di kawasan berkenaan dan pengguna jalan sekitar kawasan ini.

Habuk tebal dari kawasan kuari dan kilang simen di sini juga mengotorkan rumah, perabut, pakaian dan lain-lain harta benda termasuk mencemarkan makanan yang dihidang serta mengancam berbagai jenis tanaman yang diusahakan oleh penduduk terbabit.

Ada kalangan penduduk yang terlibat dengan masalah ini mengalami pedih dan sakit mata, batuk serta asma.

CAP kesal walaupun alam sekitar dan kehidupan penduduk di kawasan ini sudah lama terancam namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasinya. CAP bimbang dan percaya jika masalah ini dibiarkan kesan lebih buruk yang melibatkan alam sekitar, kesihatan dan ekonomi penduduk akan berlaku pada masa akan datang.

Sehubungan itu CAP menggesa kerajaan Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ini. CAP juga meminta Jabatan Kesihatan memantau dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berterusan ke atas penduduk-penduduk yang terlibat.

Tambah CAP lagi, kajian dan penilaian mengenai kerosakan harta benda penduduk dan kemerosotan sumber pendapatan peniaga tempatan perlu dilakukan dan pampasan yang setimpal wajar diberikan kepada mereka yang mengalami kerugian kesan dari pencemaran ini.

 

Kenyataan Media, 8 Mac 2016