Perjalanannya di CAP bermula pada tahun 70-an ketika Subarrow memperkenalkan pertubuhan itu kepadanya. Mendiang Encik Rajean, Ketua Bahagian Luar Bandar ketika itu mengalu-alukan Mano dengan sepenuh hati dan amat menghargai bantuannya ketika menjalankan kegiatan CAP di peringkat awal dulu.
Mano ketika itu bekerja di kilang pembungkusan dan apabila ada masa terluang, beliau segera berbasikal ke CAP untuk membantu. Selepas mendapat pekerjaan yang lebih stabil di Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, hubungannya dengan CAP bertambah kukuh dan beliau secara aktif membabitkan diri dalam segala kegiatan yang dianjurkan oleh CAP dan SAM pada hujung minggu.
Pembabitannya dalam Kempen Selamatkan Batu Caves menjadi pengalaman paling berharga yang tidak mudah dilupakannya. Malah beliau sering membicarakannya dengan rakan-rakan setugas.
Mano turut terbabit dalam kerja Bahagian Tamil CAP dan bersama-sama kakitangan bahagian itu melakukan perjalanan ke daerah luar untuk membantu dalam kerja-kerja manual ketika mengendalikan program pengguna. Beliau begitu cekap dan mampu memasang semua peralatan yang diperlukan dalam sesuatu program.
Mano biasa melakukan perjalanan dengan Subba setiap bulan ke Kuala Lumpur untuk melakukan kerja susun atur Utusan Tamil dan kadangkala menghabiskan masa sekurang-kurangnya 2-3 hari sehingga kerja itu selesai. Sebaik sahaja kembali dari perjalanan itu, beliau segera kembali ke SPPP. Begitulah dedikasi yang ditunjukkan oleh Mano.
Sewaktu program kendalian Bahagian Tamil, Mano mudah bergaul dengan para peserta dari semua lapisan masyarakat – daripada ahli politik, guru, perkumpulan belia, pemimpin NGO dan ahli NUPW hinggalah ke pekerja estet.
Achuran memberikan sumbangan besar dan amat berharga dalam kerja am yang dilakukannya, antara lain termasuk dalam Seminar Tahunan CAP, Kempen Anti-Samsu di estet, dan kempen Anti-Tembakau.
Kejayaan semua Kempen Anti-Gula anjuran CAP di hospital Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Johor Bharu dikecapi hasil sumbangan Mano yang tidak terhingga.
Selain itu Mano turut berlakon dalam drama ‘Bahaya Samsu’, di mana beliau memegang watak sebagai seorang pemabuk dan suami yang mendera isteri. Penggambaran drama itu dilakukan di estet Sungai Ular di Kulim, Kedah dan disiarkan dalam berita RTM.
Sewaktu Bahagian Tamil memulakan model ladang semula jadi CAP, Mano memberi sumbangan besar dengan menukar jalan bertar di halaman pejabat kami menjadi tapak pertanian. Tanpa mengenal penat-lelah, beliau mengubah dan membersihkan batu, bata dan benda-benda tidak diingini dari tempat itu. Malangnya, disebabkan keadaan dirinya yang kurang sihat dan atas permintaan keluarganya, Mano tidak lagi bekerja di kebun dan hanya melakukan tugas di pejabat.
Namun kecintaannya pada kerja di kebun tidak berakhir di situ. Meskipun ketika bekerja di dalam pejabat, beliau masih berkeras untuk menjaga kebun dan bersusah payah membersih serta menanam tanaman yang cantik di luar bilik Presiden CAP. Beliau mahu memastikan bekas Presiden kami, Allahyarham Encik SM Mohd Idris, yang juga merupakan seorang pencinta alam boleh menikmati pemandangan indah di kebun ini. Beliau juga rajin memotong tumbuhan yang meliar di luar pagar pejabat CAP, malah setiap hari beliau akan mencantas dan menjaga bahagian kebun di kawasan itu juga.
Kini semuanya tinggal kenangan. Selamat Jalan Achuran@Mano. Jasamu akan sentiasa dikenang!