ADAKAH PENINGKATAN JUMLAH ADUAN KEPADA MAVCOM BERMAKNA KESEDARAN MENINGKAT?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merujuk kepada kenyataan baru-baru ini oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berhubung aduan yang mereka terima pada tahun ini. Kami agak ragu-ragu bahawa peningkatan dalam jumlah aduan kepada suruhanjaya berkensaan sebanyak 38.1% menjadi penunjuk sebenar peningkatan dalam “kesedaran pengguna.”

Kenyataan itu mendakwa 99.4% daripada aduan yang diterima oleh MAVCOM berjaya diselesaikan; dan daripada kesemua aduan terbabit syarikat penerbangan telah memutuskan untuk menerbalikkan keputusan mereka kepada 53% kes aduan tersebut sahaja. Ini bermakna 46.4 (hampir separuh) daripada aduan yang diselesaikan tidak memihak kepada pengguna.

Jika kita melihat Laporan Pengguna MAVCOM dari Januari hingga Jun 2018, kelihatan peningkatan aduan yang ketara terhadap sesetengah syarikat penerbangan berbanding tempoh yang sama tahun lalu – yang tertinggi membabitkan Malaysia Airlines yang meningkat dari 317 tahun lalu kepada 427 tahun ini (peningkatan 110 kes), diikuti oleh Air Asia iaitu dari 121 tahun lalu kepada 192 tahun ini (meningkat sebanyak 71 kes).

Nampaknya di sebalik peningkatan dalam kesedaran pengguna, pertambahan dalam jumlah aduan yang diterima oleh MAVCOM mungkin sebenarnya bermakna terdapat penurunan dalam mutu perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat penerbangan kita.

CAP turut menerima aduan bahawa tambang bagi penerbangan domestik jauh lebih mahal berbanding penerbangan antarabangsa – kami bandingkan tambang dari Pulau Pinang ke Subang dan Pulau Pinang ke Singapura sebagai rujukan. Satu lagi aduan yang kami terima ialah sesetengah syarikat penerbangan tambang murah mengenakan tambang yang sama bagi laluan penerbangan domestik yang tertentu.

Sehubungan itu, kami akan mengetengahkan isu-isu tersebut dengan MAVCOM dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

CAP berharap jumlah aduan kepada MAVCOM akan berkurang dalam tempoh terdekat dan ia akan mencerminkan peningkatan dalam mutu perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat penerbangan kita.

Kami juga ingin menasihatkan orang ramai supaya membaca Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (yang boleh diperolehi daripada laman sesawang MAVCOM) agar mereka menyedari akan hak mereka apabila berurusan dengan syarikat penerbangan.

 

Kenyataan Akhbar, 20 September 2018