Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sukacita mengetahui bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan bahawa pembentangan Akta Kredit Pengguna akan dipercepatkan ke tahun ini.
Bulan lepas apabila Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, menyatakan bahawa Akta Kredit Pengguna akhirnya boleh menjadi sebahagian daripada perundangan Malaysia bermula pada tahun depan, kami mengalu-alukannya dengan sepenuh hati kerana perkara tersebut akhirnya bergerak ke arah yang betul.
Inisiatif Tun M untuk menjadikan perkara tersebut satu kenyataan dengan lebih cepat memang lebih baik. Beliau telah menggema semula panggilan CAP sepanjang masa ini bahawa Akta Kredit Pengguna diperlukan untuk melindungi pengguna.
Tidak dapat dielakkan bahawa mereka yang berpendapatan biasa akan terpaksa meminjam untuk membeli barangan yang kosnya tinggi tetapi sudah menjadi keperluan pada masa kini. Memang benar ada kalanya pengguna boleh terlebih komit apabila mengambil pinjaman, tetapi ia tidak semestinya di sebabkan kurangnya pandangan ke hadapan dan perancangan.
Ramai pengguna tidak dapat memahami istilah perundangan dalam perjanjian yang mereka tandatangani dengan bank dan institusi-institusi kewangan yang lain dan ini membawa masalah kepada mereka dalam jangka masa panjang.
Sebagai tambahan kepada cadangan yang telah kami sampaikan dalam kenyataan kami bulan lepas selepas pengumuman Gabenor BNM mengenai Akta Kredit Pengguna, kami ingin menyatakan bahawa ia adalah penting bahawa sebarang perjanjian pinjaman perlu dijelaskan dalam istilah awam supaya pengguna dapat memahaminya dan mengetahui terlebih dahulu apa yang akan mereka akan hadapi.
Kenyataan Akhbar, 24 Julai 2019