….
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan menyiasat masalah saliran cetek akibat sisa buangan kolam ternakan udang di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau,Pulau Pinang ketika ini.
Masalah yang berlaku sejak lebih 10 tahun yang lalu itu dibimbangi boleh mencemarkan alam sekitar,kawasan perikanan dan berlaku banjir kilat di kawasan berkenaan jika tidak ditangani segera.
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati selain mendapan lumpur yang menyebabkan saliran sepanjang lebih kurang 1km di sini tertimbus, sisa buangan dari kolam ternakan udang itu juga mengalir ke laut.
CAP merasa bimbang kemungkinan sisa buangan berwarna putih serta berbuih yang terdapat di dalam saliran di sini mengandungi bahan yang boleh meracuni dan mengancam hidupan laut serta mencemarkan alam sekitar.
Berpuluh hektar hutan bakau yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut juga turut musnah akibat pelaksanaan projek akuakultur tersebut. CAP menerima aduan dari nelayan-nelayan di kawasan ini bahawa ikan,udang,ketam dan siput telah berkurangan dan sedang diancam kepupusan.
CAP berharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera dan jika dibiarkan, alam sekitar dan kehidupan lebih 200 nelayan pantai yang bergantung hidup kepada sumber laut di kawasan berkenaan akan terjejas pendapatan mereka.
Malah rumah-rumah penduduk berhampiran projek ternakan udang di sini juga mungkin diancam banjir kilat ketika hujan kerana sistem saliran tidak berfungsi berikutan pengaliran air tersekat dan melimpah di kawasan tersebut.
CAP berpendapat adalah perlu pihak bertanggungjawab menangani masalah ini dengan segera supaya kesan buruk yang lebih serius tidak berlaku ke atas alam sekitar, kehidupan nelayan dan penduduk di sini pada masa akan datang.
Kenyataan Media, 3 Julai 2019