ALAM SEMULAJADI JANDA BAIK PERLU DIPELIHARA: SAM

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pahang mengambil tindakan segera bagi memelihara alam semulajadi di Janda Baik dekat Bentong di sini agar tidak terus terancam oleh sebarang bentuk aktiviti di kawasan berkenaan.

Selain masalah kemusnahan hutan, perhatian serius juga perlu diberikan ke atas kualiti air sungai yang dibimbangi akan tercemar jika penggunaan racun pertanian dan pembuangan sisa kolam ternakan ikan turut berlaku di tempat itu.

Baru-baru ini Jabatan Perhutanan Pahang telah mengesan kegiatan pencerobohan Hutan Simpan Ulu Chemperoh seluas dua hektar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menjadikan kawasan ini sebagai kawasan pertanian.

SAM kesal dengan kejadian tersebut dan berharap tindakan tegas diambil dan hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas pihak terbabit supaya perbuatan ini dapat dikawal dengan berkesan dan tidak berulang lagi.

SAM percaya jika masalah pencerobohan hutan terus berlaku dan kawasan untuk pertanian semakin luas diteroka ia sekali gus akan mencetuskan ancaman hakisan tanah serta pencemaran sisa racun di kawasan berkenaan.

Keadaan di sini pasti akan menjadi lebih buruk jika projek ternakan ikan yang ada sekarang turut menyumbang kepada masalah ini dengan membuang sisa kolam ke dalam sungai berhampiran. Ia bukan saja mencemarkan air sungai terbabit malah ikan di dalamnya akan pupus serta menjejaskan sumber pendapatan penduduk tempatan yang bergantung kepada sungai tersebut.

Sehubungan itu SAM berharap kerajaan negeri, jabatan serta agensi yang terlibat membuat pemantauan yang kerap dan berterusan bagi memastikan tidak ada kegiatan oleh mana-mana pihak yang merosakkan alam semulajadi kawasan ini.

Apa jua projek pembangunan yang boleh menjejaskan alam sekitar tidak seharusnya dibenarkan pelaksanaannya di sini supaya keindahan dan fungsi ekosistem Janda Baik tidak mengalami sebarang kecacatan untuk dinikmati oleh generasi masa depan.

 

Kenyataan Media, 7hb April 2015