Banjir Kilat di Pulau Pinang: Langkah Pencegahan dan Penebatan Perlu Ditingkatkan

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak berkuasa untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan penebatan selepas menyiasat punca sebenar berlakunya banjir kilat di beberapa buah kawasan di sekitar Pulau Pinang terutama di Teluk Kumbar, Permatang Damar Laut, Batu Maung dan Bayan Lepas.

Berikutan hujan lebat yang berlaku pada 29 November 2015 bermula sekitar jam 6.00 petang paras air menaiki secara mendadak dan menyebabkan banyak harta benda penduduk-penduduk yang terlibat rosak dan musnah antaranya barangan perkakas rumah, kenderaan.

Dari maklumat yang diperolehi serta tinjauan yang dilakukan oleh SAM, kami mendapati masalah banjir kilat yang terjadi berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah  projek menaik taraf jalan raya yang masih belum siap serta beberapa projek pembinaan yang masih dalam proses. Selain itu sistem perparitan di kawasan tapak projek juga dilihat kurang memuaskan.

Projek-projek pembangunan di sini telah menyebabkan pemendakan dan menghalang pengaliran air dalam parit. Tambahan daripada itu, sistem perparitan yang sedia ada tidak dapat menampung pembangunan pesat, dan dengan itu meningkatkan risiko banjir kilat pada masa akan datang.

SAM kesal kerana tindakan berkesan masih belum diambil untuk menangani masalah yang berlarutan ini. Memandangkan bahawa Pulau Pinang semakin mudah terancam kepada banjir kilat, strategi pencegahan dan penebatan perlu ditingkatkan.

Intervensi di kawasan tadahan diperlukan untuk mengurangkan aliran air permukaan dan hakisan tanah. Yakni, perancangan gunatanah yang baik dengan halangan pembangunan di lereng bukit, dataran banjir dan kawasan yang mudah banjir adalah wajib. Pihak berkuasa juga perlu memantau projek pembangunan yang dijalankan sekarang untuk memastikan langkah struktural yang diambil untuk menebat banjir adalah mesra alam dan berkesan.

Pembangunan pesat, penambakan laut, pengkonkritan pulau ini dan penebangan pokok di bukit menyumbang kepada pemusnahan alam sekitar Pulau Pinang dan meningkatkan ancaman banjir. Kami menggesa kerajaan negeri untuk menangani masalah alam sekitar dengan segera dan menganjak daripada pembangunan yang tidak mapan.

 

Siaran Media, 2 Disember 2015