Bantahan Cadangan Pengubahan Guna Tanah Daripada Zon Hutan Kepada Zon Perumahan dan Pertanian di Lot 559526 Berhampiran Kelab Golf Meru Valley

Pada hari ini, 5 Januari 2026, kami komuniti setempat terutamanya yang tinggal di Meru Valley bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak (SEP) telah dijemput menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran (JSTP) – Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) bagi menjelaskan bantahan yang telah dikemukakan.

Ia adalah susulan daripada penyerahan borang penyertaan awam semasa Publisiti Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) yang telah diadakan pada 1 Oktober 2025 hingga 31 Oktober 2025.

Kami membantah cadangan pengubahan guna tanah daripada zon hutan kepada zon perumahan dan pertanian termasuk menukar sempadan Blok Perancangan (BP) 8 kepada Blok Perancangan Kecil (BPK) 4.5 di Lot 559526 berhampiran Kelab Golf Meru Valley seluas kira-kira 18.62 hektar (46 ekar).

Cadangan pengubahan guna tanah termasuk menukar sempadan tersebut dibimbangi boleh menimbulkan impak secara langsung kepada alam sekitar.

Untuk makluman, sebelum Lot 559526 menjadi tanah milik, ianya adalah berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) iaitu sebahagian daripada Hutan Simpan Kledang Saiong (HS Kledang Saiong) yang telah dimansuh warta pada 24 Oktober 2019.

Walaupun kini status tanah kawasan cadangan telah menjadi tanah milik, kami tetap membantah kerana guna tanah masih berhutan, ciri-ciri geofizikal keseluruhan kawasan cadangan adalah berbukit, struktur tanah mudah terhakis dan merupakan kawasan sensitif kepada sebarang kegiatan yang melibatkan pemusnahan (pengubahan) guna tanah sedia ada.

Kegiatan pemusnahan (pengubahan) guna tanah yang ketara kepada lain-lain guna tanah di kawasan cadangan terutama semasa kerja-kerja tanah akan menyebabkan permukaan tanah terdedah kepada air larian permukaan dan hakisan lereng semasa hujan lebat yang boleh berlakunya banjir lumpur.

Kawasan cadangan dan sebahagian HS Kledang Saiong juga merupakan habitat Siamang (Symphalangus syndactylus) dan beberapa spesies hidupan liar lain yang dilindungi sepenuhnya.

Pengubahan guna tanah kawasan cadangan boleh menimbulkan konflik antara manusia dengan hidupan liar.

Disamping itu, walaupun kawasan cadangan bukan sebagai salah satu geo tapak Geopark, pemeliharaan dan pengekalan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) juga adalah selari dengan matlamat pemasyhuran keseluruhan Daerah Kinta sebagai Lembah Kinta Geopark.

Oleh itu, kami berharap, Pihak Berkuasa Negeri memperhalusi semula dan membatalkan cadangan pengubahan guna tanah daripada zon hutan kepada zon perumahan dan pertanian termasuk menukar sempadan BP 8 kepada BPK 4.5 di Lot 559526 berhampiran Kelab Golf Meru Valley seluas kira-kira 18.62 hektar (46 ekar), Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan).

Malaysia adalah penandatangan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity – CBD) dan Perjanjian Paris dan oleh demikian negeri-negeri harus mengambil lebih banyak tidakan untuk melindungi dan memulihara hutan dan tidak menjejaskan kewajipan di bawah perjanjian antarabangsa ini.

Maka, Pihak Berkuasa Negeri perlu mengekal zon guna tanah hutan dan mewarta kembali kawasan cadangan sebagai kawasan perlindungan (PA) atau Hutan Simpanan Kekal (HSK) serta mewarta juga di bawah Akta Pemuliharaan Tanah 1960 (Akta 385).

Rajah dari Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan)

Kenyataan Media, 5 Januari 2026