Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Pihak Berkuasa Negeri membatalkan cadangan projek hidro elektrik kecil di hulu Sungai Sungkai, Mukim Sungkai, Daerah Batang Padang, Perak.
SAM menyeru kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mengambilkira kepentingan penduduk Orang Asli dalam Mukim Sungkai yang tidak bersetuju dan membantah cadangan projek hidro elektrik kecil yang dicadang dibina di sini.
Sekiranya cadangan projek tersebut dilaksana, penduduk Orang Asli dalam Mukim Sungkai tidak akan mendapat apa-apa manfaat sebagaimana projek-projek lain yang pernah dilaksana yang melibatkan tanah wilayah adat Orang Asli.
SAM bersama penduduk dari enam buah kampung Orang Asli dalam Mukim Sungkai berharap Pihak Berkuasa Negeri meneliti dan mempertimbang asas-asas bantahan sebagaimana yang terkandung di dalam memorandum yang telah dikemuka kepada YAB Menteri Besar Perak pada 16 Mei 2014.
Sehubungan dengan ini, pada hari ini SAM dengan enam orang Tok Batin yang mewakili penduduk dari enam buah kampung Orang Asli dalam Mukim Sungkai mengadakan kunjungan ke Pejabat YAB Menteri Besar Perak untuk menegaskan bahawa kami tidak bersetuju dan membantah projek empangan hidro elektrik kecil yang dicadang dibina di hulu Sungai Sungkai.
Kami berharap Pihak Berkuasa Negeri akan mempertimbangkan dengan serius pendirian penduduk Orang Asli di kawasan tersebut.
Kenyataan Media, 30 Julai 2015