Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan beberapa penduduk Air Itam telah menyerahkan petisyen dengan 4,140 tandatangan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Alam Sekitar Cawangan Bayan Lepas membantah pembangunan sebuah ‘crematorium’ di Mukim 16, Bandar Air Itam.
Tandatangan-tandatangan tersebut dikumpulkan dalam tempoh sebulan di sekitar Air Itam. Cik Ching Chooi Ngoh, 46 tahun, seorang penghuni Jalan Balik Pulau, yang mengetuai rombongan pembantah menyatakan bahawa pembinaan projek ‘crematorium’ di sini adalah tidak sesuai dan tidak harmoni dengan alam sekitar di sini.
Antara yang menandatangani petisyen ini ialah penduduk Pulau Pinang yang prihatin, jogger, penunggang basikal, pencinta alam dan pelancong. Ramai yang tidak sedar tentang cadangan pembangunan projek ‘crematorium’ di sini dan hairan bagaimana kelulusan diberikan untuk membina ‘crematorium’ berhampiran kawasan sensitif alam sekitar, tadahan air dan perlancongan.
Dalam surat bertarikh 5 Jun 2015 kepada CAP, Jabatan Alam Sekitar menyatakan bahawa salah satu syarat kebenaran adalah alat pembakaran bahanapi seperti dandang (boiler), burner, genahar (furnace) dan lain-lain adalah tidak dibenarkan. Majlis Bandaraya Pulau Pinang pula menyatakan bahawa pada 10 September 2013 Jawatankuasa One Stop Centre (OSC) meluluskan satu unit chamber di blok crematorium tersebut. Di mesyuarat hari ini, CAP meminta penjelasan ke atas dua kelulusan yang bertentangan.
Surat daripada OSC kepada penggerak projek, Kek Lok Si Temple, bertarikh 17 September 2013 menyatakan bahawa kebenaran untuk blok ‘crematorium’ adalah untuk kegunaan sami dan biarawati dan tambahan 150 orang ‘senior refuge sisters’, ‘upasaka’ lelaki dan ‘upasika’ wanita. Kami tertanya pihak berkuasa mana yang akan memantau jasad siapa yang dibakar dan jika ada kemungkinan untuk ‘crematorium’ kemudiannya dibuka untuk kegunaan awam.
MBPP dan JAS telah menerima bantahan kami tetapi wakil Kerajaan Negeri pada mulanya enggan menerima petisyen itu. CAP menegaskan bahawa Kerajaan Negeri perlu bertanggungjawab ke atas perkara itu dan akhirnya kami berjaya untuk mengemukakan bantahan tersebut. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu memegang kepada dasar, “Cekap, Akauntabiliti, Telus” dan lebih mesra rakyat serta menghormati pandangan awam.
Kami menggesa kerajaan negeri, MBPP dan JAS mendengar tuntutan dan bantahan rakyat dan membatalkan projek krematorium di sini.
Kenyataan Akhbar, 27 Julai 2015