Bawa Beg Sendiri, Katakan Tidak kepada Beg Plastik

Sempena Hari Bebas Beg Plastik pada 3 Julai, Persatuan Pengguna Pulau Pinang  (CAP) mengedarkan beg kain yang dibuat dari t-shirt lama kepada pengunjung Pasar Bagan Ajam di Butterworth, Pulau Pinang. Acara untuk menandakan hari global ini adalah tindakan bersama dengan SMK Convent Butterworth dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Sebagai simbol masyarakat guna-buang, penggunaan beg plastik yang membawa masalah alam sekitar, masih meluas walaupun terdapat larangan tertentu. Sebagai contoh, Pulau Pinang adalah negeri pertama di Malaysia untuk melancarkan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik Percuma” pada bulan Julai 2009. Pelaksanaan tidak mengedar beg plastik percuma dikenakan kepada beberapa premis perniagaan tetapi mengecualikan pasar awam dan penjaja.

Oleh itu, kita masih melihat banyak beg plastik di persekitaraan. Beg plastik yang mudah ditiup angin adalah sumber pencemaran plastik yang besar di lautan, dan juga menimbulkan masalah utama di daratan, menyumbat longkang dan menyumbang kepada banjir kilat. Pengguna mesti sedar keperluan untuk tidak menggunakan beg plastik bagi mengurangkan jumlah sisa dan pencemaran.

Langkah pertama untuk pengguna adalah untuk sentiasa membawa beg yang boleh digunakan semula. Beg kain terbuat dari t-shirt lama adalah terbaik kerana percuma, boleh dibasuh dan digunakan semula. Untuk membeli barangan basah seperti daging atau ikan, pengguna boleh membawa bekas mereka sendiri. Pasar raya juga harus membenarkan pelanggan membawa beg sendiri untuk membeli sayur-sayuran, dan tidak mengeluarkan beg plastik nipis untuk setiap barang yang dibeli, seperti yang diamalkan sekarang.

CAP menggesa pelaksanaan yang lebih meluas kepada larangan sedia ada terhadap beg plastik. Kita perlukan pengharaman beg plastik di seluruh negara seperti yang dilaksanakan di beberapa negara. Sebagai contoh di Rwanda, ada pengharaman terhadap pengimportan, penghasilan, penggunaan dan penjualan beg plastik dan pembungkusan plastik, kecuali dalam industri tertentu seperti hospital dan farmaseutikal.

Larangan keras pada beg plastik di Kenya sejak Ogos 2017 telah berjaya membersihkan negara ini, sehingga negara-negara Afrika timur lain Uganda, Tanzania, Burundi dan Sudan Selatan sedang mempertimbangkan mengikutinya. Di China larangan ke atas beg plastik nipis telah menyebabkan pengurangan 60-80% dalam penggunaannya di pasar raya. Di Denmark dan Finland penggunaan purata tahunan beg plastik ringan ialah hanya 4 seorang!

Kehidupan tanpa beg plastik adalah mungkin, seperti yang diperhatikan di negara-negara yang telah mengenakan larangan ketat. Tidak ada alasan lagi! Sudah tiba masanya kita menyingkirkan beg plastik sekali guna untuk kebaikan semua!

 

#breakfreefromplastic  #plasticbagfreeday

 

Siaran Media, 3 Julai 2018