Kampung di sekitar Marudi menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih yang teruk

Tatkala negara kita sedang berada di titik perubahan politik yang bersejarah ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin menarik perhatian semua pihak tentang penderitaan masyarakat Orang Asal kita yang telah lama dinafikan hak mereka ke atas pelbagai kemudahan asas. Di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia, sebahagian besar populasi masyarakat Orang Asal kita masih lagi tidak berupaya untuk mencapai sistem bekalan air bersih, tenaga elektrik dan sanitasi, serta kemudahan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan yang bermutu. Jika kita benar-benar serius tentang reformasi institusi dan kepemerintahan bagi negara kita, perkara ini mestilah ditangani dengan kadar yang segera dan berkesan oleh pihak berkuasa persekutuan dan negeri.

Seiring dengan ini, kami ingin menyuarakan kegusaran kami terhadap permasalahan kekurangan sumber air bersih bagi lebih seribu penduduk di rumah panjang di sekitar kawasan Puyut-Lubuk Nibong di sekitar Marudi, Baram. Hasil beberapa peninjauan kami lewat satu bulan ini, kami telah mendapati bahawa keadaan hidup para penduduk kampung di sekitar kawasan ini amatlah menyedihkan, terutama sekali setelah kemarau panjang tiba semenjak dari petengahan bulan Mac lepas lagi.

Menurut para penduduk di kawasan Puyut, kebanyakan rumah panjang di sini telah pun membina sendiri sistem bekalan air bersih yang berasaskan penyaluran graviti, bersumberkan dari anak-anak sungai yang berdekatan. Bekalan air sungai ini pada asalnya memang dirancang untuk menyalurkan sumber air bersih yang selamat digunakan oleh para penduduk kampung bagi tujuan minuman, penyediaan makanan dan pembersihan.

Namun para penduduk mendakwa, sumber air sungai sekarang telah terlalu teruk terjejas oleh pencemaran, dan berkemungkinan tidak selamat lagi untuk diminum dan paling tidak, hanya dapat digunakan bagi tujuan pembersihan.

Bagi rumah panjang yang terletak agak jauh dari sebarang anak sungai yang dapat disalurkan melalui tarikan graviti, mereka telah menggunakan air dari kolam-kolam kecil yang terletak berhampiran dengan kampung-kampung mereka, tetapi untuk tujuan pembersihan sahaja. Namun akibat dari kemarau panjang, air kolam-kolam ini juga telah semakin teruk terjejas mutunya dan malah tidak dapat digunakan lagi walau sekadar untuk tujuan pembersihan.

Oleh itu pada hari ini, untuk tujuan pembersihan, kampung-kampung ini rata-ratanya telah terpaksa bergantung kepada air hujan yang ditapis. Malangnya, kemarau panjang yang dihadapi sekarang ini telah pula menjejaskan simpanan air hujan para penduduk.

Sementara itu, untuk sumber bekalan air minuman bersih, para penduduk sekarang ini tidak memiliki pilihan lain, selain dari mendapatkannya dari paip air yang terletak di tapak pasar tamu di pekan Marudi, atau dari air botol mineral yang terpaksa dibeli. Di Rumah Entawan di Padang Kerbau, sesetengah keluarga di sini malah terpaksa membelanjakan wang untuk membeli sekurang-kurangnya sepuluh buah kotak air botol mineral setiap bulan.

SAM juga sedia maklum bahawa masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih ini telah dihadapi oleh para peduduk di rumah panjang di sekitar Marudi telah terus menerus berlaku semenjak beberapa dekad yang lalu. Para penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak-pihak berkuasa yang berkenaan, termasuklah kepada wakil rakyat sendiri semasa mesyuarat bersama dengan para ketua kaum. Namun malangnya segala aduan berkenaan telah gagal diberi perhatian yang sewajarnya sehinggalah ke hari ini. Segala yang pernah dijanjikan telah gagal untuk dikotakan.

Adalah amat tidak dapat diterima sama sekali bahawa kampung-kampung ini yang hanya terletak 30 minit dari pekan Marudi melalui kenderaan, masih lagi tidak memiliki saluran bekalan air bersih setelah lebih dari lima dekad Malaysia ditubuhkan.

Oleh itu, SAM ingin menggesa kerajaan persekutuan dan negeri supaya segera mengambil perhatian dan tindakan sewajarnya ke atas permasalahan ini kerana situasi hidup para penduduk berkenaan tanpa ketiadaan air bersih adalah satu masalah yang amat serius dan berbahaya. Ia juga merupakan satu penafian ke atas hak asasi mereka untuk hidup di dalam keadaan yang selamat dan selesa. Terakhir sekali, SAM juga menggesa supaya pihak kerajaan segera mewujudkan sebuah rancangan tindakan untuk menyalurkan bekalan air bersih secara terus dari loji air bersih dari pekan Marudi ke kampung-kampung di kawasan terbabit.

 

Kenyataan Akhbar, 29 Jun 2018