BENGKEL BOT FIBER GLASS HARAM ANCAM PENDUDUK KUALA SUNGAI ACHEH

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengambil tindakan segera menghentikan operasi bengkel membaiki dan membuat bot fiber glass haram di Kampung Kuala Sungai Acheh dekat Nibong Tebal di sini.

Langkah sedemikian perlu diambil kerana pengusaha bengkel tersebut bukan saja tidak mendapat kebenaran dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) malah telah menimbulkan ancaman pencemaran ke atas kehidupan lebih 10 keluarga yang tinggal berhampiran bengkel tersebut, 50 nelayan yang berpengkalan berdekatan bengkel itu serta beratus pengguna jalan yang lalu lalang di kawasan ini setiap hari.

Di samping bau kimia (gam) yang kuat, masalah pencemaran habuk fiber glass yang berpunca dari bengkel tersebut telah menyebabkan penduduk-penduduk berdekatan mengalami gatal-gatal kulit. Tapak bengkel ini juga terletak  di atas tanah rizab sungai dan terlalu hampir dengan salah sebuah rumah penduduk yang terlibat.

CAP kesal walau pun sudah tiga minggu Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan mengarahkan pengusaha bengkel terbabit membuka pagar zink dan menghentikan kerja-kerjanya tetapi hingga sekarang arahan tersebut tidak dipatuhi oleh pengusaha bengkel itu.

Tinjauan CAP dua hari lalu mendapati para pekerja di bengkel tersebut sedang giat melakukan kerja-kerja membaiki dan membuat bot fiber glass. Dinding pagar bengkel tersebut juga masih belum dirobohkan, malah di tepi parit dan berhampiran sungai di sini telah dilonggok berbagai sisa buangan dari bengkel itu.

CAP berharap kerajaan negeri, MPSP, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan undang-undang yang tegas ke atas pengusaha bengkel berkenaan dan menghentikan operasi bengkel ini dengan serta merta. CAP amat kecewa walaupun bengkel tersebut menjalankan operasi secara haram dan menimbulkan masalah pencemaran yang serius serta boleh memudaratkan kesihatan penduduk namun keadaan ini terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan berkesan yang diambil.

CAP percaya jika kerajaan Pulau Pinang dan pihak yang bertanggungjawab masih memandang ringan atau membiarkan masalah ini berlarutan alam sekitar dan kehidupan penduduk-penduduk yang terlibat akan terancam dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang. CAP meminta pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang tegas bukan sekadar bagaikan melepaskan batuk di tangga.

 

Kenyataan Media, 30hb Mac 2015