Majoriti masyarakat Malaysia kini sedang menjalani tuntutan wajib masyarakat Islam iaitu berpuasa di Bulan Ramadhan. Berada di dalam bulan Ramadhan atau lebih difahami oleh masyarakat Islam di Malaysia sebagai bulan Puasa, Bulan Ibadah dan Bulan Muhasabah diri, merupakan suatu kesempatan untuk umat islam mengembalikan sifat baik dalam diri dan mensucikan nilai serta sifat jahat dalam diri.
Namun jika dilihat dalam konteks umat Islam kini di Malaysia, hadirnya bulan Ramadhan ini sama seperti Hadirnya Bulan Pesta. Pesta Makanan, Pesta Buffet, Pesta Berbuka, Pesta Sahur, Pesta berbelanja dan Pesta melahapkan Nafsu. Merujuk kepada statistik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Bulan Ramadhan juga amat sinonim dengan Peningkatan Jumlah Sisa Pepejal yang dibuang oleh Rakyat Malaysia.
Laporan terkini, menjelaskan bahawa peningkat Sisa Pepejal di Negeri Perlis sebanyak 25% atau 180 tan sehari dibulan Ramadhan ini berbanding 130 tan sehari pada bulan biasa.
Justeru itu Persatuan Pengguna Pulau Pinang ( CAP ) membuat suatu tuntutan kepada seluruh masyarakat Malaysia sempena Bulan Ramadhan ini agar, hindari dari sikap dan usaha yang cuba untuk mengkomersialkan agama. Usaha ini wajar digemblengkan disemua lapisan masyarakat termasuklah pihak berkuasa dan pemerintah agar bulan Ramadhan ini kembali dihayati sebagai bulan Ibadah dan bulan untuk melakukan kebaikan.
Komersialisasi Agama yang dimaksudkan ialah, Wujudnya unsur memperdagangkan, mempengaruhi, serta mengeksploitasi agama untuk kepentingan kebendaan semata. Wujud papan tanda, iklan-iklan media, hotel, restoran, tempat kediaman malah dikawasan kampung yang mempromosikan pelbagai pekej berbuka dan sahur yang menyediakan puluhan juadah berbuka atau sahur, dengan pelbagai harga. Bazar Ramadhan yang wujud disetiap corok penempatan masyarakat membekaskan lagi erti Komersialisasi terhadap agama ini.
Sewajarnya rakyat Malaysia khususnya yang beragama islam lebih sensitif terhadap isu ini dengan mengelakkan diri daripada terlibat dengan pesta-pesta buffet, majlis berbuka mahupun sahur yang pasti jauh dari tuntutan agama Islam yang sebenar.
Membazir makanan, puluhan juadah ketika berbuka mahupun sahur, berbelanja berlebihan, Iklan Promosi jualan pra perayaan dan promosi buffet dihotel-hotel adalah menifestasi komersialisasi agama. Ambil sahaja contoh Masyarakat di Sri Lanka, ketika masyarakat sedang menghampiri sambutan hari Vesak, Kerajaan Negara Sri Lanka mengharamkan Iklan-iklan untuk sambutan hari Vesak ini, disebakan ianya mencemarkan kesucian agama budha. ( Laporan The New York times, 04 Mei 2018 ).
Sewajarnya langkah yang baik diambil oleh pihak kerajaan di Malaysia untuk memastikan komersialisasi agama dapat dibendung dalam bulan ramadhan yang mulia ini. Sebarang bentuk komersialisasi agama yang wujud wajar disekat. Badan dan Institusi Islam yang bertanggunjawab memelihara wajar menjadi pembela kepada usaha untuk mengkomersialkan agama ini.
Kenyataan Media, 24hb Mei 2018