Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tidak meneruskan dengan rancangan projek pembangunan bercampur di Pulau Jerejak, tetapi sebaliknya memelihara pulau ini dan mewartakannya sebagai Taman Negeri.
CAP sangat kecewa apabila difahamkan daripada laporan akhbar bahawa kebenaran merancang untuk pembangunan sebuah hotel, rumah kelab dan kondominium telah diberikan oleh MBPP kepada pemaju, Tropical Island Resort Sdn. Bhd tanpa mendapat maklum balas daripada orang ramai.
Terdapat gesaan sebelum ini daripada beberapa NGO dan orang awam untuk mewartakan Pulau Jerejak sebagai Taman Negeri, dalam mempertimbangkan sejarah, warisan budaya, khazanah alam semulajadi yang kaya dengan hutan yang tidak tersentuh yang mengandungi flora dan fauna yang bernilai.
Kami amat kecewa bahawa MBPP telah membenarkan pulau ini dibangunkan untuk resort bagi kepentingan komersial dan bukannya memelihara pulau ini demi kepentingan awam.
Laporan berita mendakwa bahawa syarat-syarat telah dikenakan kepada pemaju oleh MBPP. Walau bagaimanapun, kami menyeru MBPP untuk mengumumkan syarat-syarat tersebut kepada awam dan tidak membenarkan pembangunan diteruskan tanpa maklum balas dan perundingan awam.
Tiada justifikasi diberikan kenapa pembangunan seperti itu diperlukan di Pulau Jerejak, walaupun terdapat banyak pusat peranginan dan hotel di Pulau Pinang.
Pulau Pinang sangat memerlukan lebih banyak ruang hijau, dan persekitaran semula jadi di Pulau Jerejak mesti dipelihara untuk generasi masa depan.
Oleh itu, kami merayu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar tidak membenarkan projek pembangunan tersebut diteruskan dan mendapatkan maklum balas awam dengan segera.
Kenyataan Media, 25 Mei 2018