CAP BIMBANG KEMUSNAHAN HUTAN DI KEDAH ANCAM PEMBIAKAN LEBAH

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang lebah di beberapa kawasan di Kedah diancam kepupusan menyebabkan pengeluaran madu di negeri ini terjejas teruk sejak beberapa tahun kebelakangan.

Mengulas laporan akhbar tempatan (Sinar Harian:16 Mac 2017 ) mengenai perkara ini, CAP menggesa kerajaan negeri, jabatan serta agensi berkaitan menjalankan siasatan dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasi punca masalah itu berlaku. Antara kawasan yang terjejas dengan masalah ini ialah  Pedu, Baling, Sik, Padang Terap dan Gunung Jerai. Madu tualang, akasia dari kelulut dari hutan di kawasan-kawasan berkenaan merupakan sumber alam terbaik untuk kesihatan manusia.

Menurut Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Pusat Memproses Makanan Madu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdullah Yahya, pihaknya hanya mampu mengumpul 4 tan madu pada 2016, berbanding 9 tan pada tahun 2015. Dijangkakan pada tahun ini akan semakin merosot apabila suku tahun pertama hanya mampu memperolehi 15kg berbanding 200kg pada tahun lalu.

Jualan Madu pada tahun 2016 hanyalah RM700,000.00 berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM 1.2 juta.

Menurutnya, bekalan madu semakin berkurangan akibat iklim panas terlalu panjang hingga menjejaskan pengeluaran pelbagai jenis bunga yang menjadi makanannya. Masalah ini semakin ketara sekarang dan bertambah serius berlaku kerana banyak pokok yang menjadi sarang lebah turut ditebang.

Seorang pencari madu lebah Mohd Arman Ismail, 31, dari Kampung Baru Padang Sanai mendakwa, dua tahun lalu beliau memperolehi 200 hingga 250kg madu semalam hasil pencariannya di sekitar Tasik Pedu tetapi sekarang hanya mendapat 11kg sahaja semalam.

CAP berpendapat lebah mungkin pupus dalam jangka masa dua puluh tahun akan datang dan menjejaskan sumber makanan untuk kesihatan manusia serta menutup mata pencarian penduduk-penduduk di pedalaman yang bergantung hidup kepada hasil jualan madunya jika pihak kerajaan terus membiarkan serangga ini terancam.

Justeru CAP meminta kerajaan Kedah menghentikan kegiatan penebangan hutan dan pembalakan di negeri ini untuk memelihara pembiakan lebah agar tidak mengalami kepupusan di samping mengawal kepanasan yang melampau dan mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang berlaku sekarang.

 

Kenyataan Media, 29hb Mac 2017