Undang-undang Tanda Harga Mesti Dikuatkuasakan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  supaya menguatkuasakan Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973, Seksyen 8 (1) yang memerlukan peniaga mempamerkan tanda harga barangan yang dijual.

Tinjauan kami di sekitar Pulau Pinang menunjukkan ramai peniaga dengan sewenang-wenangnya melanggar Akta Kawalan Harga. Hasil tinjauan kami adalah seperti berikut:

Jenis premis Bilangan kedai Bilangan kedai tidak patuh undang-undang Bilangan kedai patuh undang-undang Peratus kedai melanggar undang-undang
Gerai makanan 85 28 57 33%
Restoran 20 8 12 40%
Kedai runcit 15 6 9 40%
Kedai peralatan komputer 10 5 5 50%
Kedai alat ganti kereta 10 3 7 30%

Pelaku kesalahan utama ialah di mana harga makanan dan minuman yang dijual oleh gerai-gerai ini tidak mempunyai senarai harga yang dimaperkan. Kadangkala mereka meletakkan senarai harga yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa cina.

Senarai pelaku kesalahan yang kedua ialah restoran yang tidak mengemaskini senarai harga mereka.

Banyak kedai makan mempunyai senarai harga mereka yang terletak jauh daripada di mana makanan ditempatkan. Oleh sebab itu, adalah sukar bagi pelanggan untuk mengetahui harga makanan yang diambilnya dan sering harganya melebihi daripada bajet mereka.

Pada umumnya, pengguna dikenakan bayaran berlebihan dalam kes ini dan mereka tidak mempunyai senarai harga untuk berhujah mengenai bayaran yang dikenakan kepada mereka.

Menurut Akta, adalah menjadi tanggungjawab kepada penjual untuk memaklumkan kepada pembeli mengenai harga dan kekurangan penguatkuasaan menghalang keberkesanan undang-undang ini.

Sehubungan ini, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjalankan operasi di seluruh negara dengan memeriksa dan menguatkuasakan dengan tegas undang-undang ini selaras dengan Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973. Mereka yang melakukan kesalahan ini perlu diambil tindakan dengan segera.

 

Kenyataan Akhbar, 20 Mac 2017