CAP dan SAM lega apabila membaca penjelasan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad bahawa Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) tidak meluluskan Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).
Kami amat mengalu-alukan keputusan MPFN) untuk tidak meluluskan projek tambak laut itu tetapi memberikan 18 syarat kepada kerajaan negeri dan meminta kerajaan negeri supaya berhubung dengan komuniti tempatan dan memastikan keperluan mereka dipertimbangkan.
Kelmarin kami menyuarakan kekecewaan kami mengenai kenyataan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bahawa MPFN telah meluluskan projek dengan 18 “nasihat” selepas mesyuarat MPFN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Kini jelas Ketua Menteri membuat kenyataan yang mengenlirukan mengenai kelulusan oleh Majlis Perancangan Fizikal kerajaan persekutuan.
Kami amat mengalu-alukan penjelasan oleh Menteri Khalid Samad hakikat bahawa “pihak majlis tidak memberikan sebarang kelulusan atau membuat sebarang keputusan berhubung projek itu dan memberikan kerajaan negeri 18 syarat.”
Kami juga menghargai kenyataan Menteri bahawa “kerajaan negeri juga dinasihatkan supaya terus berhubung dengan komuniti tempatan dan memastikan keperluan mereka diberikan pertimbangan.”
CAP dan SAM bersama dengan NGO lain amat aktif dalam menganalisis cadangan projek tambak laut serta projek lain seperti PIL 1, terowong dasar laut dan jalan raya berkembar, yang semuanya membentuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Kami akan terus aktif dalam mendapatkan pandangan kami agar diketahui oleh kerajaan negeri, persekutuan dan agensi dan terus berhubung dengan pihak berkuasa serta komuniti tempatan.
Kami sekali lagi mengulangi pandangan kami bahawa projek lain dan tambak laut dalam PTMP amat merosakkan kepada Pulau Pinang dan Malaysia dalam aspek kewangan, alam sekitar, budaya, warisan dan komuniti tempatan.
Terdapat cara yang lebih murah, baik dan mesra alam sekitar dalam memperbaiki pengangkutan di Pulau Pinang, daripada projek mega bernilai RM46 bilion yang dicadangkan oleh kerajaan negeri.
Kami tidak faham kenapa projek ini amat tinggi harganya dan pada masa di mana negara sedang cuba untuk menjimatkan wang. Contohnya, projek lebuh raya PIL1 dianggarkan menelan kos RM8 bilion untuk jalan raya sejauh 20 km, atau RM400 juta per km. Ini jauh melebihi kos RM68 juta per km bagi projek ECRL persekutuan yang disemak semula dan juga jauh melebihi banyak lebuh raya lain dan projek jalan di Malaysia.
Jelas sekali seluruh pelan pengangkutan kerajaan negeri perlu disemak semula daripada banyak aspek.
Sementara itu, kami menggesa Ketua Menteri untuk tidak membuat kenyataan selanjutnya mengenai projek yang mengelirukan. Beberapa hari yang lalu beliau mengumumkan projek tambak laut diluluskan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara pada peringkat persekutuan (sebenarnya tidak), dan Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan EIA bagi projek PIL1 (walaupun kemudiannya mengakui EIA mengandungi maklumat salah mengenai cerun bukit dengan kesilapan disebabkan oleh komputer) dan SPRM telah menutup siasatan berhubung rasuah terhadap syarikat utama yang terlibat dalam projek terowong dasar laut.
Sudah pasti agensi inilah yang perlu membuat sebarang pengumuman, dan bukannya Ketua Menteri untuk menjadi jurucakap bagi Majlis Perancangan Fizikal Negara, Jabatan Alam Sekitar atau SPRM agensi antirasuah.
Kenyataan Akhbar, 19 April 2019