Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah mengambil tindakan segera menghentikan semua aktiviti korek pasir di negeri ini kerana ia mengancam alam sekitar dan menjejaskan kehidupan penduduk tempatan.
CAP kesal walau pun masalah tersebut sudah berlarutan sejak sekian lama namun sehingga kini tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan malah keadaan itu semakin serius berlaku.
Mengulas kejadian pencemaran Sungai Sari di Padang Sanai daerah Padang Terap yang dilaporkan berlaku baru-baru ini (Sinar Harian 26.10.16), CAP berpendapat penguatkuasaan undang-undang yang lemah menjadi punca lebih 5,000 penduduk di beberapa daerah di negeri ini terutama daerah Kulim terus diancam pencemaran akibat dari kegiatan mengorek pasir tersebut.
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati operasi mengorek pasir bukan saja mencemarkan air sungai yang menjadi kegunaan harian penduduk luar bandar, tetapi juga telah menyebabkan banyak ikan mati, tanah pertanian terhakis dan rumah-rumah penduduk terancam serta runtuh.
CAP dan penduduk-penduduk yang terlibat telah berpuluh kali menyuarakan kebimbangan dan membantah kesan buruk akibat aktiviti mengorek pasir ini kepada kerajaan Kedah tetapi hingga sekarang terbukti tidak ada tindakan berkesan yang diambil bagi menangani masalah itu.
CAP percaya jika keadaan ini berterusan alam sekitar akan musnah, air sungai terus tercemar, tanah pertanian menjadi berkurangan dan kehidupan penduduk di kawasan terbabit akan terus terancam dan mengalami kerugian lebih besar akibat kerosakan harta benda mereka.
Justeru itu CAP berharap kerajaan Kedah, Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi perhatian sewajarnya dan mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha-pengusaha kuari pasir yang terlibat.
CAP dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) serta penduduk-penduduk kampung yang terancam kehidupan mereka akibat aktiviti mengorek pasir di negeri ini akan melancarkan kempen tandatangan untuk membantah aktiviti tersebut di samping menggesa ia dihentikan segera.
Surat bantahan bersama tandatangan penduduk akan dihantar dalam masa terdekat kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Exco kerajaan tempatan Badrul Hisham Hashim, Exco Alam Sekitar Dato Dr Leong Yong Kong dan ketua-ketua jabatan terbabit.
Kenyataan Media, 27 Oktober 2016