CAP Gesa Hapuskan Plumbum Dalam Cat

Paras Plumbum Berbahaya Dijual Dengan Meluas Di Negara Membangun

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi menggesa kerajaan Malaysia supaya mengambil langkah segera untuk menghapuskan plumbum dalam cat. Analisis CAP terhadap plumbum dalam cat rumah enamel yang baharu di Malaysia mendapati lebih daripada 60 peratus daripada 39 sampel cat yang diuji mengandungi paras plumbum yang tinggi.

Gesaan CAP ini sempena dengan Minggu Tindakan Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa (International Lead Poisoning Prevention Week of Action – ILPPWA), pada 23 – 29 Oktober 2016, anjuran bersama oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Satu laporan, Laporan Cat Plumbum Global dikeluarkan minggu ini oleh IPEN (yang boleh diakses di http://ipen.org/documents/global-lead-paint-report-2016), juga sebagai sebahagian daripada ILPPWA, mendapati banyak cat hiasan yang dijual di lebih 40 negara berpendapatan rendah dan pertengahan di mana kajian telah dijalankan mengandungi paras plumbum berbahaya, kadangkala secara langsung melanggar peraturan negara.

Kesan kesihatan daripada pendedahan plumbum ke atas otak kanak-kanak adalah sepanjang hayat, tidak dapat dirawat dan tidak boleh dibalikkan seperti sedia kala . “Kita mengehadkan kanak-kanak dan pembangunan intelektual masa depan negara walaupun alternatif yang berkesan dan selamat sudah pun digunakan dan boleh diperolehi dengan meluas di seluruh dunia. Kita mesti mengurangkan sumber pendedahan plumbum kepada kanak-kanak,” kata S. M. Mohamed Idris, Presiden CAP.

“Penggunaan berterusan cat plumbum merupakan sumber utama pendedahan plumbum terhadap kanak-kanak,” kata Dr. Sara Brosche, Pengurus Kempen Hapuskan Cat Plumbum Global. “Kanak-kanak terutama sekali mereka yang berusia di bawah enam tahun termakan atau menyedut plumbum melalui pendedahan kepada debu atau tanah yang tercemar dengan cat berasaskan plumbum dan tingkah laku biasa tangan ke mulut atau apabila menggigit alat permainan, perabot rumah atau bahan bercat lain yang menggunakan cat berasaskan plumbum. Kerajaan perlu menetapkan had mandatori ke atas plumbum tetapi syarikat cat tidak perlu menunggu peraturan; mereka boleh dan perlu bertindak sekarang.”

Dalam kenyataan yang disediakan untuk ILPPWA tahun ini, Dr. Maria Neira, Pengarah Jabatan Kesihatan Awam, Alam Sekitar dan Penentu Sosial Kesihatan untuk WHO berkata, “Pendedahan kepada plumbum mendedahkan bahaya yang ketara kepada kesihatan manusia terutama sekali bagi kanak-kanak. Tidak perlu ditambah plumbum dalam cat – bahan kimia alternatif yang lebih selamat boleh digunakan. Cara terbaik untuk memastikan kesedia-adaan cat selamat daripada plumbum ialah negara perlu mengguna pakai undang-undang, peraturan atau standard mandatori yang melarang pembuatan, import, eksport, jualan atau penggunaan cat plumbum.”

Di Malaysia, pada masa kini tiada peraturan yang mengehadkan kandungan plumbum dalam cat bagi kegunaan di rumah dan tujuan hiasan.  Kita hanya mempunyai standard keselamatan mandatori yang menetapkan penerimaan maksimum resapan plumbum dalam cat tidak lebih daripada 90 bahagian per sejuta (bps) dalam alat permainan bagi kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah.

Ini tidak mencukupi kerana langkah Malaysia ke atas alat permainan kanak-kanak menyediakan hanya sebahagian perlindungan memandangkan ia tidak menangani cat domestik, iaitu cat yang kebanyakannya menyumbang kepada pendedahan plumbum kepada kanak-kanak.

Kebanyakan negara perindustrian mengguna pakai undang-undang atau peraturan untuk mengawal kandungan plumbum cat hiasan – cat yang digunakan di dalam dan di luar rumah, sekolah dan kemudahan lain yang dihuni oleh kanak-kanak bermula tahun 1970-an dan 1980-an. Standard paling ketat ialah 90 bps jumlah kandungan plumbum dalam cat hiasan, adalah yang paling biasa digunakan di banyak negara termasuklah Filipina, Nepal dan Amerika Syarikat.

Mengurangkan kesan sampingan kesihatan daripada cat plumbum diperlukan dalam mengawal pendedahan. Pengharaman ke atas pembuatan, import, jualan, pengedaran, penggunaan dan eksport cat plumbum adalah lebih kos efektif dalam mengurangkan risiko pendedahan berbanding program pemulihan di masa depan.

Oleh itu terdapat keperluan segera bagi had yang terikat dengan undang-undang terhadap penggunaan plumbum dalam cat dan sumber pendedahan plumbum lain kepada kanak-kanak. Kami dengan ini menggesa kerajaan Malaysia supaya menggubal dan menguatkuasakan peraturan untuk menghapuskan plumbum dalam cat.

 

Siaran Akhbar, 25 Oktober 2016

Nota:

  1. Laporan CAP bertajuk “Lead in New Enamel Household Paints in Malaysia” diterbitkan pada Mac 2016 boleh diakses di http://www.ipen.org/documents/lead-new-enamel-household-paints-malaysia
  1. IPEN adalah rangkaian jaringan NGO yang terdiri daripada 700 organisasi di 116 negara yang berusaha untuk mengurangkan dan menghapuskan bahan toksik berbahaya di peringkat antarabangsa dan dalam lingkungan negara mereka sendiri. (www.ipen.org)