CAP gesa JAS siasat masalah pencemaran di Kuala Kurau

Beginilah keadaan jaring nelayan yang dilekati sisa buangan kilang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak segera menyiasat masalah pencemaran sisa buangan dari kilang memproses udang dan sotong di Batu 12½, Jalan Pantai Kuala Kurau di sini.

Masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang itu telah menimbulkan kebimbangan lebih 100 nelayan pantai di kawasan tersebut kerana ia mencemarkan laut berhampiran yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.

Seorang nelayan menunjukkan sisa buangan yang terdapat di dalam parit berhampiran kilang.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP diberitahu oleh nelayan-nelayan yang terlibat bahawa pengusaha kilang di sini membuang sisa itu ke laut melalui saluran paip dan parit berdekatan.

Selain mencemarkan air laut, bahan buangan tersebut juga menimbulkan bau busuk disamping menjejaskan pembiakan ikan, udang, ketam serta siput yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di sini dan penduduk tempatan.

Saluran buangan sisa kilang yang dibina di tepi laut

Nelayan terbabit mendakwa, selain sumber pendapatan berkurangan hampir 50% setiap kali kawasan tangkapan di sini dilanda pencemaran itu, mereka turut mengalami kerugian besar kerana sisa buangan dari kilang berkenaan melekat pada jaring dan tidak boleh digunakan lagi.

CAP kesal dengan kejadian ini walau pun sudah lama berlaku dan dihadapi oleh nelayan-nelayan di kawasan itu namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

Kilang memproses udang dan sotong di Kuala Kurau, Perak.

CAP percaya jika masalah ini dibiarkan ia akan merebak dan boleh mengancam alam sekitar serta menjejaskan kehidupan nelayan dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

CAP berharap siasatan segera dilakukan oleh JAS dan tindakan tegas perlu diambil jika pengusaha kilang di sini didapati bersalah melanggar peraturan-peraturan yang termaktub dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pemantauan yang berterusan perlu dilakukan oleh JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan pihak kilang tidak sewenang-wenangnya membuang sisa buangan dan masalah ini tidak berulang.

Manakala Jabatan Perikanan perlu campurtangan dalam masalah ini supaya nasib nelayan-nelayan di kawasan berkenaan terbela dan pampasan yang setimpal wajar diberikan kepada mereka yang mengalami kerugian akibat pencemaran itu.

 

Kenyataan Media, 20hb Januari 2022