Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng mengumumkan kepada penduduk negeri ini khususnya golongan nelayan di kawasan Permatang Damar Laut apakah tujuan kerja-kerja mengukur, menanda kawasan dan menggali dasar laut dilakukan oleh sebuah syarikat di kawasan berkenaan.
CAP kesal walaupun perkara ini telah CAP kemukakan kepada pihak jabatan, agensi serta EXCO kerajaan negeri untuk mengetahui apakah tujuan projek tambak laut yang akan dilaksanakan di kawasan itu nanti, pihak berkenaan langsung tidak tahu tentang projek berkenaan malah ada yang tidak memberi jawapan terhadap soalan-soalan yang CAP kemukakan kepada mereka.
Pihak-pihak berkenaan ialah Pejabat Tanah Daerah Barat Daya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang, EXCO Kerajaan Tempatan YB Chow Kon Yeow dan EXCO Alam Sekitar YBPhee Boon Poh.
Justeru kami meminta YAB Lim Guan Eng selaku EXCO Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah Pulau Pinang memberitahu apakah tujuan kerja-kerja mengukur dan menggali dasar laut dilakukan di kawasan Permatang Damar Laut di sini termasuk bukit dan hutan di Pantai Indah di tempat itu.
Oktober lalu CAP telah membuat tinjauan di kawasan terbabit dan mendapati kerja-kerja mengukur, menanda kawasan dan menggali dasar laut sedang dilakukan oleh pekerja-pekerja syarikat yang terlibat. Malah kalangan nelayan dan penduduk tempatan yang ditemui juga tidak mengetahui apakah tujuan sebenar kerja-kerja tersebut dilakukan.
Berikutan dengan ini, YAB Lim Guan Eng yang juga EXCO Penerangan perlu memberi penjelasan secara terperinci kepada rakyat negeri ini apakah jenis projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan itu dan kesannya kepada penduduk setempat.
CAP bimbang dan percaya jika projek tambak laut dilaksanakan di kawasan berkenaan ia akan menjejaskan alam sekitar dan kehidupan 300 nelayan pantai yang bergantung hidup kepada sumber laut di kawasan tersebut. CAP membantah keras jika projek tambak laut hendak dilaksanakan di sini dan menggesa projek itu dibatalkan segera.
Kenyataan Media, 11hb November 2015