CAP GESA RUMAH UNTUK PENDUDUK KAMPUNG BARU, PULAU TIGA DISEGERAKAN

Beginilah keadaan rumah penduduk yang telah dirobohkan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah segera campurtangan menyelesaikan masalah rumah untuk didiami oleh 30 keluarga di Kampung Baru, Pulau Tiga, Sungai Layar dekat Sungai Petani yang terlibat dengan arahan berpindah oleh pemilik tanah di kawasan itu baru-baru ini.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana keadaan yang berlaku itu telah menimbulkan suasana sedih serta gelisah kalangan mereka terbabit setelah tempat berteduh sejak berpuluh tahun lamanya telah dan akan dirobohkan.

Kejadian tersebut berlaku setelah penduduk-penduduk kampung berkenaan menerima arahan dari Mahkamah Tinggi supaya mengosongkan tanah yang mereka duduki selewat-lewatnya 3 Januari 2022.

Penduduk Kampung Baru Pulau Tiga terpaksa berteduh di bawah khemah.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati penduduk-penduduk di kampung tersebut resah gelisah dan memohon simpati agar masalah ini diberi perhatian oleh pihak berwajib. Berikutan kejadian itu mereka terpaksa menyewa rumah, menumpang rumah saudara-mara dan ada yang terpaksa berteduh dibawah khemah di kawasan hutan paya bakau berhampiran.

Lebih menyedihkan, walaupun kediaman mereka sudah menyembah bumi dan ada yang masih menunggu dengan penuh debaran, namun tidak ada sebarang pampasan atau bantuan diberikan oleh pihak berkenaan bagi mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung mereka ketika ini.

CAP difahamkan kalangan penduduk yang terlibatkan merupakan pesara kerajaan, nelayan,peniaga kecil, buruh kasar, pekerja kilang yang berpendapatan antara RM300 hingga RM1,000 sebulan dan tidak mampu untuk menempah kehidupan baru.

Puan Kholijah Kassim salah seorang penduduk yang terlibat.

Seorang penduduk Kholijah Kassim, 63, dengan penuh rasa hiba merenung sisa-sisa batuan rumah-rumah yang telah dirobohkan berkata, “ Makcik belum tahu lagi nak tinggal dimana selepas ini, nak sewa rumah pun duit tak cukup”.

Beliau yang hanya bergantung hidup kepada hasil jualan kueh muih dengan pendapatan RM 10.00 sehari merayu agar pihak kerajaan menyediakan rumah untuknya berlindung dari hujan dan panas dengan secepat mungkin. Ia kesal sehingga kini tidak ada pihak yang datang meninjau dan membantu menyelesaikan kesusahan yang mereka alami.

Pada 30 Disember 2021, berikutan kekecewaan yang dirasai setelah berbagai usaha dan rayuan tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak kerajaan, penduduk-penduduk kampung itu telah mengadakan perhimpunan aman di hadapan Wisma Negeri, di Alor Setar.

Tidak ada rumah, penduduk membuat khemah berhampiran hutan paya bakau.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Baru Pulau Tiga Saheme Hashim, 54, beliau amat kesal dengan sikap pihak berwajib kerana tidak mengambil tindakan dan membiarkan masalah yang mereka hadapi berterusan hingga sekarang.

CAP bersimpati dengan penduduk-penduduk kampung tersebut dan berharap kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menangani keadaan yang meruncing ini agar tidak berlarutan sehingga memberi kesan yang lebih buruk ke atas kehidupan keluarga mereka.

Penduduk-penduduk di sini bukan saja kehilangan tempat berteduh tetapi juga terjejas sumber pendapatan. Justeru, CAP menyeru agar masalah ini ditangani segera demi kehidupan masa depan mereka yang lebih sempurna.

 

Kenyataan Media, 6 Januari 2022