CAP KESAL MASALAH PENCEMARAN DI SEBERANG PERAI SEMAKIN SERIUS

Sampah-sarap yang mencemarkan sungai di kampung titi hitam dekat Nibong Tebal.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sungai akibat pembuangan sampah dan sisa kilang industri yang berlaku di Seberang Perai.

Isu yang sudah berlarutan sejak sekian lama di daerah-daerah di Seberang Perai tersebut bukan saja menimbulkan bau busuk tetapi juga turut mengancam hidupan sungai dan laut serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai di sini.

Tinjauan CAP baru-baru ini mendapati, sungai di Kampung Titi Hitam dekat Nibong Tebal, airnya telah bertukar warna menjadi hitam pekat serta berbau busuk kerana dicemari najis babi dan sampah sarap yang serius. Sungai sepanjang 1km di kampung itu mungkin tertimbus pada masa akan datang jika punca masalah ini tidak ditangani segera oleh pihak berkenaan.

Manakala berhampiran kawasan perindustrian Bukit Minyak pula sungai di sini sudah mati dan tidak berfungsi lagi setelah ia dijadikan tempat membuang sisa toksik dari kilang-kilang berhampiran. CAP mendapati terdapat kesan di mana pokok-pokok yang terdapat di tepi sungai di sini mula layu daunnya dan hampir mati akibat diancam pencemaran tersebut

Pokok pokok mati kesan pencemaran sisa toksik dari kawasan industri Bukit Minyak.

CAP merasa hairan bagaimana pengusaha kilang boleh dibenarkan membina kilang hingga ke sungai tanpa sebarang kawalan ke atas sisa yang dibuang ke dalam sungai di sini. CAP percaya jika kilang-kilang di kawasan ini jika tidak diawasi dan sisa buangan tidak diurus secara sistematik ia akan mencemarkan sistem saliran dan laut dengan lebih buruk lagi sekali gus menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan yang mencari rezeki di tempat itu.

CAP telah menerima banyak aduan dari nelayan Kuala Juru dan Batu Kawan bahawa ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka telah berkurangan akibat masalah pencemaran bahan buangan dari kilang-kilang berhampiran.

CAP kesal walau pun masalah pencemaran sisa toksik dari kilang kilang di sini telah memberikan kesan amat buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkuasa terbabit bagi mengatasinya.

Sehubungan itu CAP menggesa MPSP, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang yang tegas ke atas pihak kilang yang terlibat melakukan pencemaran di kawasan ini.

 

Kenyataan Media, Ogos 2015