Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengucapkan syabas kepada Kerajaan kerana mengeluarkan lesen berhubung “hak kerajaan” untuk mendapatkan versi generik (umum) ubat Hepatitis C, sofosbuvir, sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dalam kenyataan akhbar beliau pada 20 September lalu.
Langkah ini memberi harapan kepada 500,000 pesakit Hepatitis C di Malaysia dan keluarga mereka kerana akhirnya terdapat ubat yang berkesan pada harga yang mampu dibeli.
Kami menggesa kerajaan untuk memastikan ubat berkenaan boleh diperolehi dalam tempoh beberapa hari atau sekurang-kurangnya seminggu dua.
Langkah kerajaan itu sepatutnya boleh menjimatkan antara 95-99 peratus. Pada ketika ini kos bagi rawatan lengkap selama 12 minggu ialah kira-kira RM300,000.
Dalam sidang akhbarnya Menteri Kesihatan berkata, harga terakhir yang dirundingkan dengan syarikat pemegang paten bagi ubat sofosbuvir ialah RM50,000. CAP percaya dengan adanya lesen pemberian kerajaan, penggunaan ubat generik boleh menurunkan harganya antara RM500 hingga RM1,000 bagi rawatan lengkap setiap pesakit.
Dalam kata lain, kerajaan dan pesakit boleh menjimatkan kos sehingga 95-99 peratus dengan mengambil ubat versi generik, melalui pengeluaran lesen kegunaan kerajaan.
Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang mengeluarkan lesen kegunaan kerajaan atau lesen wajib bagi sofosbuvir atau mana-mana ubatan di bawah kategori yang dikenali sebagai “direct acting anti-virals (DAA)” yang berkesan untuk merawat Hepatitis C. Langkah yang dimulakan ini boleh menjadi pendorong kepada negara-negara lain untuk mencontohinya.
Memberikan lesen seumpamanya adalah sepadan dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia dan akta paten di Malaysia.
Kami mengucapkan syabas kepada Menteri Kesihatan dan rakan-rakan setugasnya dalam Kementerian Kesihatan dan lain-lain Kementerian di atas langkah berani ini yang sudah pasti akan memberi manfaat kepada ribuan pesakit Hepatitis C.
Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan agar mengambil tindakan susulan yang sewajarnya untuk mendapatkan ubat sofosbuvir berkenaan dan menjadikannya mudah diperolehi dalam masa beberapa hari atau minggu, kerana ribuan nyawa sedang terancam.
Kementerian Kesihatan juga perlu cuba mendapatkan lain-lain ubat Hepatitis C yang diperlukan untuk digabungkan bersama ubat sofosbuvir. Selain itu ia juga perlu mengambil langkah untuk mengetepikan batasan berhubung penjualannya pada harga mampu beli di Malaysia.
Kementerian Kesihatan juga perlu melengkapkan ujian klinikal yang dijalankan bersama Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi), dan meneruskan kolaborasi berkenaan dengan tujuan untuk menjadikan kombinasi ubat yang sesuai boleh diperolehi di Malaysia dengan harga sasaran awal RM1,000 seorang bagi setiap rawatan.
Kenyataan Akhbar, 21 September 2017