Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf 24 – 30 Oktober 2021, sebagai Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa ke arah meningkatkan kesedaran dan menggalakkan tindakan untuk menangani kesan kesihatan daripada pendedahan plumbum, terutama sekali terhadap kanak-kanak, wanita hamil dan pekerja.
Sempena dengan peristiwa ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia supaya menyegerakan pembentukan undang-undang yang akan menghapuskan plumbum dalam cat.
Hampir 30 tahun sejak CAP membuat gesaan kepada kerajaan agar membentuk satu piawaian bagi plumbum dalam cat. Sehingga ke hari ini kita masih mendapati plumbum dalam cat.
Terdapat usaha oleh Jabatan Standard Malaysia baru-baru ini untuk memasukkan spesifikasi dalam piawaian mereka bagi jenis cat tertentu di mana ramuan yang digunakan dalam rumusan cat tersebut tidak seharusnya mengandungi plumbum. Bagaimanapun, piawaian ini adalah secara sukarela dan tidak meliputi semua jenis cat di pasaran.
Terdapat beberapa usaha yang diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada akhir 2020 untuk mengeluarkan piawaian mandatori bagi plumbum dalam cat. Pihak Kementerian sedang dalam proses membuat peraturan, dan ia dijangka akan berkuatkuasa lewat tahun depan.
WHO menganggap cat berplumbum sebagai “a major flashpoint” bagi kanak-kanak kerana ia berpotensi menyebabkan keracunan plumbum dan berkata “sejak petrol berplumbum dihapuskan, cat berplumbum adalah salah satu sumber pendedahan terbesar plumbum terhadap kanak-kanak.” Oleh itu, langkah segera perlu diambil untuk mengurangkan sumber penting pendedahan plumbum terhadap kanak-kanak, khususnya cat berplumbum.
Plumbum adalah racun terkumpul yang menjejaskan pelbagai sistem tubuh. Ia amat berbahaya terutama kepada kanak-kanak dan wanita hamil. Bagaimanapun, plumbum berbahaya kepada semua yang terdedah kepadanya.
Cat mengandungi paras plumbum yang tinggi apabila pengeluar cat dengan sengaja menambah satu atau lebih sebatian plumbum ke dalam cat bagi beberapa tujuan. Produk cat mungkin juga mengandungi sejumlah plumbum apabila ramuan cat yang dicemari dengan plumbum digunakan, atau apabila terdapat percemaran silang daripada produk lain dalam kilang yang sama.
Plumbum berbahaya pada semua paras pendedahan, oleh itu tiada paras selamat bagi pendedahan plumbum. Kanak-kanak khususnya mudah terjejas kepada keracunan plumbum kerana mereka menyerap 4 – 5 kali lebih banyak plumbum yang ditelan berbanding orang dewasa daripada sumber yang diberikan. Lebih-lebih lagi, perasaan ingin tahu kanak-kanak dan tingkah laku pada usia mereka yang suka memasukkan tangan ke mulut dan menelan objek bersalut plumbum atau mengandungi plumbum, seperti debu atau tanah yang tercemar dan serpihan daripada cat mengandungi plumbum yang mengelupas.
Sebaik sahaja plumbum memasuki tubuh, ia tersebar ke organ seperti otak, buah pinggang, hati dan tulang. Tubuh menyimpan plumbum dalam gigi dan tulang, di mana ia terkumpul selepas beberapa waktu. Plumbum yang tersimpan dalam tulang mungkin dikeluarkan ke dalam darah ketika kehamilan, oleh itu janin terdedah kepadanya. Kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan lebih mudah terdedah kepada plumbum kerana tubuh mereka menyerap lebih banyak plumbum jika kekurangan nutrien lain seperti kalsium dan zat besi. Sepertimana yang diketengahkan oleh WHO, kanak-kanak berisiko tinggi adalah mereka yang terlalu muda (termasuk janin yang sedang membesar) dan golongan yang kurang dari segi ekonomi.
Kesan pendedahan kepada plumbum termasuklah masalah pembelajaran, meningkatkan risiko tingkah laku antisosial, mengurangkan kesuburan dan meningkatkan risiko penyakit buah pinggang dan kardiovaskular di kemudian hari. Selain menjejaskan individu, terdapat kesan terkumpul ke atas masyarakat keseluruhannya. Tiada paras selamat pendedahan kepada plumbum, oleh itu pencegahan bagi pendedahan kepadanya amat penting.
Kajian CAP ke atas plumbum dalam cat di masa lalu mendedahkan perkara berikut:
- Pada 1992, kami mendapati 7 daripada 9 cat enamel yang diuji mengandungi plumbum melebihi 600 bahagian per sejuta (bps). Jumlah tertinggi plumbum dalam kajian itu ialah 11,700 bps.
- Pada 2016, kami menguji 39 lagi sampel cat hiasan enamel. 16 daripada sampel itu mengandungi jumlah kepekatan plumbum melebihi 600 bps, di mana 12 sampel mengandungi kepekatan plumbum tinggi yang amat berbahaya melebihi 10,000 bps. Kepekatan plumbum tertinggi yang dikesan adalah 150,000 bps.
- Pada 2019, analisis CAP mendedahkan 11 daripada 17 peralatan taman permainan mempunyai paras plumbum tinggi yang berbahaya melebihi 10,000 bps.
- Pada 2020, kami menguji cat semburan. 12 daripada 48 sampel didapati mengandungi plumbum, di mana 2 sampel mempunyai plumbum melebihi 10,000 bps.
Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME) menganggarkan bahawa pada 2019, pendedahan kepada plumbum mengakibatkan 900,000 kematian dan 21.7 juta orang kehilangan tahun-tahun kehidupan yang sihat (tahun-tahun di mana pesakit perlu menyesuaikan diri dengan kecacatan yang dialami atau DALYs) di seluruh dunia akibat kesan jangka panjang ke atas kesihatan. Beban tertinggi adalah di negara berpendapatan sederhana dan rendah. IHME juga menganggarkan bahawa pada 2019, pendedahan kepada plumbum bertanggungjawab bagi 62.5% beban daripada perkembangan kecacatan intelektual global yang penyebabnya adalah tidak jelas, 8.2% daripada beban penyakit hipertensi jantung global, 7.2% beban penyakit jantung iskemik global dan 5.56% beban strok global.
Cat berplumbum merupakan sumber pendedahan berterusan di banyak negara. Memandangkan bahaya plumbum dan dengan mengambilkira penghapusan cat berplumbum semakin mendapat sambutan di seluruh dunia, CAP menggesa kerajaan Malaysia supaya segera menbentuk dan menguatkuasakan undang-undang untuk menghapuskan plumbum dalam cat.
Kenyataan Akhbar, 27 Oktober 2021