Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan tegas dalam usaha menghapuskan aktiviti bot pukat rawa sorong yang diharamkan penggunaannya di negara ini.
Mengikut Akta Perikanan 1985, mereka yang didapati bersalah kerana melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah akta ini boleh dikenakan denda RM20,000.00 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Selain menyalahi undang-undang, aktiviti bot pukat rawa sorong ini juga mengancam pembiakan hidupan laut serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.
Mengulas tindakan melupuskan bot tersebut oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di pengkalan Kuala Kurau, Perak baru-baru ini, CAP menyokong tindakan tersebut kerana ia dapat memulihara sumber laut dan menjamin bekalan makanan untuk rakyat negara ini pada masa akan datang.
CAP berharap lebih banyak bot yang menggunakan peralatan yang diharamkan dan melanggar undang-undang Perikanan dapat diambil tindakan serta dihadapkan di Mahkamah supaya masalah ini dapat ditangani dengan berkesan.
Langkah serupa perlu melibatkan lain-lain negeri kerana CAP mendapati masalah ini bukan saja berlaku di Perak tetapi juga di Kedah dan Perlis.
Penggunaan pukat rawa sorong bermula dari Thailand tetapi telah diharamkan oleh kerajaan negara tersebut kerana ia merosakkan ekosistem hidupan laut sehingga berlaku kepupusan sumber perikanan di perairan negara ini.
CAP difahamkan bahawa pada tahun 2014 terdapat 195 buah bot pukat rawa sorong sedang beroperasi di perairan Kedah dan Perlis. Bot-bot ini berpengkalan di 16 jeti nelayan dari Kuala Sungai Baru di Perlis hingga ke Tanjung Dawai, Kedah.
CAP meminta Jabatan Perikanan Kedah dan Perlis melakukan siasatan di jeti-jeti berkenaan dan merampas semua bot pukat rawa sorong yang terdapat di sini. CAP percaya cara ini akan lebih berkesan dalam usaha kerajaan menghapuskan penggunaan pukat yang diharamkan itu.
Kenyataan Media, 7hb Mei 2015