Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut bagaimana pakej rangsangan ekonomi meninggalkan jurang masalah yang tidak diatasi.
Walaupun kerajaan menyatakan bahawa setiap lapisan masyarakat akan mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan pada 27 Mac, terdapat kelemahan yang jelas yang perlu diperbetulkan dengan segera.
Kerajaan perlu menangani masalah kenaikan harga makanan memandangkan adalah menjadi tanggungjawab untuk melihat jika ia disebabkan oleh pencatutan atau gangguan yang boleh dielakkan dalam rantaian bekalan.
Contohnya, dilaporkan lewat bulan lepas bahawa pengeluar buahan dan pemborong terpaksa membuang kira-kira 10,000 tan buahan di Lembah Klang sahaja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Petani Cameron Highlands membuang beratus tan sayuran. Mereka menghadapi masalah yang sama berkaitan logistik dalam menghantar hasil mereka ke pasar dan peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa. Begitu juga dengan nelayan kerana orang tengah tidak lagi membeli ikan daripada mereka memandangkan pasar ditutup.
Bolehkah kerajaan mewujudkan Laluan Hijau untuk pengangkutan yang membawa bekalan makanan di seluruh negara? Ia bukanlah perkara baharu kerana Kesatuan Eropah (EU) sudah pun mencadangkannya sebelum negara ahli EU mula menutup sempadan mereka akibat ancaman Covid-19. Laluan Hijau merupakan lorong cepat di laluan sempadan (atau dalam kes di Malaysia, sempadan antara negeri atau daerah) untuk menghantar bekalan. Jika kita mempunyai Laluan Hijau, maka bekalan makanan boleh dihantar ke seluruh negara tanpa halangan walaupun berada dalam PKP.
Di samping itu, orang ramai juga perlu menghentikan sikap pembelian panik. Penjelasan yang diberikan oleh ahli psikologi bagi pembelian panik ialah mengumpul banyak-banyak yang merupakan tindak balas semula jadi manusia kepada kekurangan atau melihat kekurangan. Dengan pengumuman kerajaan akan pelaksanaan PKP, rasional atau ketakutan tidak rasional bermula terutamanya apabila melihat situasi di China yang dikenakan Lockdown berbulan lamanya. Jaminan kerajaan bahawa stok mencukupi tidak meyakinkan kerana banyak elemen ketidaktentuan.
Dalam kes Malaysia, ia adalah sebahagian emosi dan ketakutan yang tidak rasional, sebab itulah kenapa ramai orang menyapu bersih seluruh stok tisu tandas walaupun dalam budaya kita, bidet mudah didapati. Memburukkan lagi keadaan, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP yang kekurangan butiran lengkap menyebabkan mereka yang terjejas tidak mengerti mengenai apa yang akan berlaku seterusnya.
Contohnya, selepas pengumuman PKP pada 17 Mac, universiti dan institusi pengajian tinggi menghentikan semua aktiviti pendidikan dan menghantar pelajar mereka pulang sebelum bermula PKP pada keesokkannya. Pelajar menjadi panik untuk mematuhi tarikh akhir untuk balik kampung dan ini menggagalkan PKP: menghalang perhimpunan ramai orang di mana penularan penyakit boleh merebak dengan cepat. Kita tidak boleh menyalahkan institusi pengajian tinggi kerana mereka hanya mengikuti arahan yang disampaikan oleh kerajaan untuk menghentikan operasi dan dengan itu tidak mengetahui apakah yang dijangkakan oleh mereka, meminta pelajar mereka pulang ke rumah. Pelajar ini seharusnya kekal di bilik asrama mereka atau kediaman yang disewa. Tetapi sekali lagi, ramai daripada mereka menghadapi masalah kewangan yang terhad untuk makanan dan keperluan lain tanpa mengetahui berapa lama PKP akan berakhir.
Satu lagi perkara ialah di mana ibu bapa yang biasanya menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan harian tiba-tiba diberitahu oleh pengendali bahawa mereka perlu membayar yuran sepenuhnya. Ibu bapa marah kerana pusat jagaan harian tidak menyediakan sebarang perkhidmatan ketika PKP dan tiada sebab kenapa mereka dikenakan bayaran. Lebih-lebih lagi, penjaga dan pemilik pusat ini boleh memohon pembiayaan daripada pakej rangsangan ekonomi.
Semuanya kita boleh melihat akan kekurangan perancangan dengan garis panduan yang jelas membiarkan pelaksana untuk memutuskan bagaimana mereka mentafsirkan pengumuman utama yang dibuat oleh kerajaan, sesetengahnya menyebabkan pusingan U yang memalukan. Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan mengeluarkan garis panduan yang lengkap untuk menanamkan keyakinan dalam kalangan rakyat.
Kenyataan Akhbar, 6 April 2020