Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), sebuah jaringan yang terdiri daripada 250 individu yang terdiri daripada ahli akademik, golongan profesional, wakil NGO dan wakil kumpulan-kumpulan petani, menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap kurangnya proses konsultasi yang sewajarnya berkaitan cadangan pindaan Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 (Akta PNPV 2004) dan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman. Walaupun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menyatakan RUU Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan pada tahun hadapan, isu konsultasi yang tidak memadai kekal kritikal untuk kedua-dua inisiatif perundangan ini.
Pada 28 Jun 2025, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, memaklumkan bahawa pindaan Akta PNPV 2004 akan dilaksanakan bagi tujuan perlindungan varieti tumbuhan yang lebih komprehensif. Terdapat kemungkinan besar pindaan ini akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas yang dijadualkan berlangsung dari 21 Julai hingga 28 Ogos 2025. Sementara itu, Menteri juga dilaporkan menyatakan pada 10 Julai bahawa RUU Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan di parlimen pada tahun hadapan.
Walau bagaimanapun, FKMM amat kecewa kerana sehingga hari ini, teks pindaan Akta PNPV 2004 dan RUU Kualiti Benih Tanaman masih belum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk konsultasi dan kajian yang menyeluruh. Ini bercanggah dengan jaminan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat Menteri Pertanian sendiri di dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 November 2024, di mana beliau menyatakan bahawa kedua-dua pindaan dan RUU ini akan dirujuk dan dibentangkan terlebih dahulu kepada JPKP sebelum dibawa ke sidang Dewan Rakyat. Keputusan ini dicapai menerusi Mesyuarat Rang Undang-Undang yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul pada 18 Julai lepas.
FKMM telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sejak 2019, namun pertemuan tersebut lebih bersifat taklimat dan banyak persoalan yang dikemukakan tidak dijawab. Sehingga kini, KPKM gagal membentangkan teks pindaan untuk konsultasi awam dan gagal mengadakan perbincangan bermakna dengan persatuan-persatuan petani kebangsaan, masyarakat orang asli dan orang asal, serta kerajaan-kerajaan negeri.
Cadangan pindaan Akta PNPV 2004 bertujuan untuk menyelaraskan akta tersebut dengan Konvensyen UPOV 1991 (International Union for the Protection of New Varieties of Plants). Walau bagaimanapun, ia bercanggah dengan perlindungan Hak Petani. Akta PNVP 2004 sedia ada telah dipuji sebagai model undang-undang yang berfungsi, yang mengimbangi kepentingan orang awam, pembiak baka tumbuhan komersial, pembiak baka awam dan petani kecil. Akta ini juga mengandungi ciri-ciri penting yang mempertahankan hak-hak petani dan keterjaminan makanan negara, termasuk pengiktirafan sumbangan petani, kebenaran petani untuk menyimpan, menggunakan, berkongsi dan menjual benih, serta syarat bagi pemohon hak pembiak baka untuk mengisytiharkan sumber genetik bagi menangani “bio-piracy”. Pindaan yang dicadangkan akan menghapuskan ciri-ciri unik yang seimbang ini dan memberikan monopoli yang lebih luas kepada syarikat-syarikat benih dan pembiak baka tumbuhan.
Bagi RUU Kualiti Benih Tanaman pula, penilaian impak peraturan yang dikatakan telah dibuat pada tahun 2018 adalah sangat tidak teratur dan tidak boleh dipercayai kerana tiada perundingan dengan petani dan orang ramai dibuat sebelum ia dikeluarkan. Objektif RUU ini untuk mengelakkan pembeli benih daripada tertipu adalah dipuji, namun dengan mewajibkan pelesenan dan notifikasi kepada Jabatan Pertanian kepada semua individu yang menyimpan dan mengedar benih termasuk petani kecil, ia adalah satu perbuatan yang berlebihan dan hanya akan menguatkan lagi monopoli pihak korporat terhadap benih tanaman. Ini akan menyekat hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih tanaman sesama keluarga, rakan-rakan, dan orang awam, serta mungkin menyebabkan peningkatan kos kepada petani dan hukuman denda serta penjara yang keterlaluan.
Oleh yang demikian, FKMM menggesa agar pindaan Akta PNVP 2004 dan penggubalan RUU Kualiti Benih Tanaman ditangguhkan pembentangannya di Parlimen. Penangguhan ini amat mustahak bagi memberi ruang dan masa yang secukupnya untuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan pihak berkepentingan, termasuk para petani dan masyarakat sivil, untuk meneliti, memberi maklum balas, dan berbincang secara mendalam akan implikasi kedua-dua inisiatif perundangan tersebut. Akta PNVP 2004 sedia ada adalah mencukupi dan perlu dipertahankan.
Kenyataan Media, 16 Julai 2025



