Malaysia setakat ini hanya melihat 36 kes COVID-19 di mana sebahagian besar mangsa kini sudah pulih; ini membuatkan kita berasa selamat, seolah-olah tidak ada apa yang akan terjadi sungguhpun perebakan virus COVID-19 di luar China semakin buruk. Namun begitu terdapat kelemahan yang ketara dalam sistem kita yang belum ditangani dengan sempurna dan mungkin akan menjadi punca perebakannya di negara kita. Kelemahan ini disebabkan oleh beberapa faktor: Akta Imigresen 1959/63, ketiadaan Akta Penjagaan Kesihatan Bukan Warganegara dan pendatang tanpa izin.
Pada Januari 2020, sekumpulan profesional penjagaan kesihatan telah mengetengahkan keperluan membentuk Akta Penjagaan Kesihatan Bukan Warganegara. Mereka menyebut bahawa bukan warganegara, khususnya mereka yang tidak bernegara dan pendatang tanpa izin, tidak menerima penjagaan kesihatan yang sempurna yang sepatutnya menjadi keperluan asas setiap manusia.Tambahan pula turut disebut bahawa Akta Imigresen 1959/63 mewajibkan sesiapa sahaja yang terjumpa pendatang tanpa izin perlu melapornya kepada pihak polis.
Peruntukan ini dalam Akta Imigresen 1959/63 bukan sahaja menjadi dilema kepada golongan profesional penjagaan kesihatan kerana mereka telah berjanji untuk merawat dan menyelamatkan semua orang, tetapi lebih penting lagi menyebabkan pendatang tanpa izin berasa takut dan enggan mendapatkan rawatan perubatan padahal hakikatnya mereka perlu berbuat begitu. Kebimbangan akan dilaporkan kepada pihak berkuasa boleh membawa kepada bencana kesihatan di luar kawalan kita.
Fikirkan keadaan di mana virus yang mudah berjangkit tersebar. Pendatang haram bertemu dengan seseorang yang telah dijangkiti virus itu lalu jatuh sakit. Bagaimanapun kebimbangan akan dilaporkan kepada pihak polis akan menghalangnya daripada mendapatkan rawatan perubatan. Tanpa rawatan/bantuan perubatan yang sempurna, ada kemungkinan beliau akan mati. Tambahan pula memandangkan pendatang haram berkenaan tidak mendapatkan rawatan perubatan, beliau tidak dikuarantin dengan sebaiknya. Ini akan menyebabkan virus berbahaya itu terus merebak kepada orang yang bertemu dengannya. Harus diingat, pendatang haram seringkali bersembunyi dan sukar dikesan.
Virus COVID-19 yang kian merebak ke serata dunia dan hampir menjadi pandemik menjadikan senario yang disebutkan tadi pasti berlaku jika virus berkenaan mula merebak dengan cepat di dalam negara kita.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kepada Kerajaan Malaysia agar memperkenalkan Akta Penjagaan Kesihatan Bukan Warganegara dan meminda Akta Imigresen 1959/63 agar pendatang tanpa izin tidak berasa takut untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin.
Surat kepada Pengarang, 4 Mac 2020