Pada 5 Mac lalu, dua orang pekerja Bangladesh maut di tapak pembinaan projek perumahan di Mentakab, Temerloh, Pahang apabila mereka tertimbus runtuhan tanah yang dikumpulkan di tepi lubang yang dikorek, ketika mereka sedang memasang paip pembetungan. Laporan selanjutnya mengatakan ketika kedua mangsa menjalankan kerja dalam lubang sedalam 6 meter itu, terdapat dua jentera berhampiran lubang tersebut yang digunakan untuk mengorek lebih banyak tanah.
Menurut pihak berkuasa, siasatan awal mendapati tidak ada sebarang perbuatan jenayah yang terlibat tetapi itu bukanlah perkara yang perlu diberi tumpuan. Mereka sepatutnya memerhatikan kecuaian yang ketara berlaku oleh pihak syarikat yang mengupah mangsa dan sanggup membiarkan mereka bekerja dalam keadaan yang begitu tidak selamat.
Pihak berkuasa seharusnya bertanya:
i. Kenapakah terdapat pekerja yang mengorek tanah betul-betul di bahagian atas lubang mangsa yang bekerja di dalamnya?
ii. Kenapakah sejumlah besar tanah dilonggokkan betul-betul di sebelah tepi lubang itu padahal ia mudah menggelongsor semula ke dalam lubang tersebut?
iii. Adakah pekerja di dalam lubang mengenakan peralatan keselamatan seperti abah keselamatan?
iv. Adakah seorang penyelia berada di situ untuk memantau kerja mereka dan sama ada mereka mematuhi prosedur keselamatan?
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berulangkali menegaskan bahawa nyawa pekerja di tapak binaan perlu dititikberatkan; mereka tidak seharusnya diperlakukan seperti komoditi yang boleh dibuang begitu sahaja.
Kami turut menekankan bahawa DOSH perlu bertindak segera setiap kali sesuatu tragedi berlaku di tapak pembinaan. Namun begitu, keadaannya tetap sama. Ini ketara melalui sikap sambil lewa kontraktor dan pemaju yang tidak menitikberatkan soal keselamatan pekerja mereka. Alasan yang diberikan juga tetapi sama iaitu mereka kekurangan pekerja.
Kesemua alasan yang diberikan itu bermakna lebih ramai pekerja binaan akan mati dengan sia-sia dan nasib mereka tidak terbela.
Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa segera membuat perubahan agar tragedi seumpamanya tidak berulang. Kami ingin mengulangi gesaan agar DOSH perlu bekerja dengan lebih bijak (bukan lebih kuat); mereka perlu menjalankan pemeriksaan dengan rahsia dan mengenakan hukuman maksimum yang boleh menjadi penghalang. Apabila kemalangan di tapak pembinaan berakhir dengan kematian pekerja, majikan perlu didakwa di bawah Kanun Keseksaan membabitkan pembunuhan manusia.
Surat kepada Pengarang, 10 Mac 2020