Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya mengambil tindakan terhadap kanopi yang menghalang laluan di jalan (terutamanya di Lebuh China, Lebuh Penang, Lebuh King dan Lebuh Pasar) di Little India.
Dalam tinjauan kami baru-baru ini, CAP mendapati pemasangan kanopi tertumpu di sepanjang bahagian Lebuh China, Lebuh Penang, Lebuh King dan Lebuh Pasar.
CAP merasa hairan bagaimana kanopi itu boleh dibenarkan disebabkan saiz kanopi begitu besar sehingga tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk jentera bomba atau ambulan melaluinya.
Seksyen 46(4) Akta Bangunan, Saliran dan Jalan 1974 membenarkan “halangan sementara untuk acara perayaan, dan sebagainya,” di atas jalan, ia menyatakan dengan khusus bahawa “tiada yang boleh mencegah pihak berkuasa daripada membenarkan sebarang pemasangan sementara di sebarang tempat awam atau penggunaan sementara mana-mana bahagian tempat awam pada acara perayaan dan upacara.”
Bagaimanapun, MBPP perlu mempertimbangkan fakta bahawa kanopi yang didirikan oleh kedai itu sudah pun mempunyai barangan di dalam premis mereka. Kenapa peniaga ini masih mahu menambah ruang pameran mereka sehingga ke jalan raya.
Dengan mengharamkan kenderaan daripada memasuki Little India oleh MBPP pada hujung minggu bukanlah penyelesaian disebabkan seluruh kawasan itu sendiri boleh menjadi perangkap api. Bayangkan apa yang akan berlaku apabila terjadi kebakaran. Jentera Bomba dan ambulan tidak dapat memasuki kawasan itu akibat halangan di jalan. Dengan rumah kedai sebelum perang yang penuh dan padat dengan bahan yang mudah terbakar (pakaian, peralatan hiasan plastik, minyak untuk lampu beribadat, minyak masak, minyak kapur barus dan minyak sapi), bagaimana api boleh di kawal.
Banyak rumah sebelum perang dibina tanpa ciri-ciri keselamatan yang diperlukan oleh standard moden. Oleh itu, bagaimana pula dengan penghuni di kawasan itu boleh menyelamatkan diri apabila berlaku kebakaran?
Salah satu contoh ialah apabila dua rumah kedai sebelum perang di Lebuh King terbakar dalam satu kebakaran pada Ogos 2015. Nasib baik ia tidak berlaku pada Oktober tahun itu ketika perayaan Deepavali, jika tidak keadaan itu akan menjadi lebih sukar bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat. Ia dilaporkan mengambil masa lebih sejam untuk memadamkan kebakaran itu yang melibatkan 71 anggota Bomba.
Memandangkan usia bangunan di sekitar Little India, ia sebenarnya menjadi bahaya kebakaran dan jika terdapat kebakaran, bagaimana jentera Bomba boleh melalui jalan ke kawasan itu atau pili bomba. Walaupun Seksyen 46(4) Akta Bangunan, Saliran dan Jalan 1974 membenarkan pemasangan sementara di tempat awam, tanggungjawab terletak sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan budi bicara untuk membenarkannya atau melarangnya.
Kebimbangan lain ialah terhadap pejalan kaki, dalam banyak kes, terpaksa berjalan di atas jalan disebabkan beberapa bahagian kaki lima jalan terhalang sama ada oleh pameran, perabot (meja dan kerusi bagi kedai makan), atau gril kekal.
Pemilik hartanah itu seharusnya didakwa di bawah Seksyen 46(1) Akta sama yang melarang halangan di tempat awam, termasuk ‘laluan pejalan kaki dan laluan beranda pada bahagian tepi jalan’ tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan.
Walaupun MBPP memutuskan untuk menukar Little India kepada pusat membeli-belah pejalan kaki, CAP merasakan perniagaan di kawasan itu tidak seharusnya dibenarkan mendirikan kanopi kerana ia menghalang ruang meletak kereta dan menjadikan ia sesak dengan beberapa perniagaan lain dan pejabat di kawasan itu. Tambahan pula, kita juga perlu mempertimbangkan masalah yang dihadapi oleh kenderaan pengangkutan yang perlu menurunkan dan menaikkan barangan.
CAP menggesa supaya diruntuhkan segera kanopi ini atas alasan yang dinyatakan di atas dan menyarankan kedai-kedai ini boleh menjalankan jualan perayaan di kawasan Padang Kota atau SPICE di mana jualan boleh dilakukan di bawah satu bumbung ketika musim perayaan.
Kenyataan Akhbar, 5 Oktober 2017