Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak bersetuju dengan pendapat Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia Pulau Pinang (MICCI), Datuk N. Gobalakrishnan dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhubung pemasangan kanopi sementara di kawasan Little India.
Ia bukan hanya melibatkan bahaya pemasangan kanopi yang menghalang jentera Bomba dan Ambulan daripada memasuki kawasan Little India tetapi bangunan itu sendiri adalah bahaya kebakaran.
Terdapat 700 kes rumah terbakar dalam tiga bulan pertama 2016 sahaja; 1,816 pada 2015; 3,066 pada 2014; dan 3,235 pada 2013. Pada Ogos 2015 satu kebakaran berlaku di kedai pakaian dan runcit di Little India. Ia melibatkan 71 anggota Bomba dari pelbagai Balai Bomba yang mengambil masa hampir tujuh jam untuk memadamkan kebakaran.
Pada tahun itu Deepavali jatuh pada 10 November. Bayangkan apa yang akan berlaku jika kebakaran itu berlaku pada minggu pertama November.
Ingin kami menyatakan bahawa banyak daripada rumah kedai ini mempunyai tangga, sama ada ke arah bahagian depan atau di tepi. Walaupun adalah perkara biasa bagi rumah mempunyai satu tangga, memandangkan usia dan rekabentuk rumah sebelum perang, ini tentunya menjadi perangkap maut.
Manakala sesetengah lorong belakang yang sempit pula terhalang oleh kenderaan yang diletakkan di situ, sesetengah bangunan ini pula pintu di bahagian belakangnya dikunci.
Sepertimana kebanyakan rumah yang dibina pada awal pertengahan abad ke 19, sesetengah daripadanya dibina membelakangi tanpa pintu belakang! Penghuni rumah ini yang tidak mempunyai pintu belakang hanya boleh melarikan diri melalui tingkap depan tetapi tingkap ini mungkin dipasang gril atau terhalang oleh papan tanda yang besar.
Kemungkinan amat menakutkan jika api bermula dari tingkat bawah pada waktu malam kerana penghuninya mungkin tidak dapat menyelamatkan diri. Tangga itu akan menjadi ‘serombong’ bagi gas panas dan asap daripada bahan yang mudah terbakar naik ke tingkat atas dan dengan itu memerangkap penghuninya.
Adalah mustahil untuk merobohkan kanopi untuk menyelamatkan sesiapa sahaja di tingkap depan walaupun jika tidak terdapat gril tingkap untuk menanganinya kerana api yang membakar daripada bahan yang mudah terbakar (bahan sintetik, minyak atau gas memasak), amat cepat merebak.
Bagi penghuni yang selamat memanjat tangga pula peraturan ‘empat kepada satu’ digunapakai. Peraturan itu menyatakan bahawa bagi setiap empat kaki tinggi yang perlu anda panjat, tapak tangga perlu digerakkan satu kaki dari dinding.
Dengan kanopi menutup sepenuhnya bangunan, tangga tidak dapat diletakkan ke dinding memandangkan bagi tangga menegak 20 kaki anda perlu meletakkan tangga itu antara lima hingga enam kaki daripada dinding. Adakah kita mempunyai ruang untuknya? Tidak!
Oleh itu, kami hairan bagaimana MBPP dan MICCI melihat isu Little India yang kritikal ini yang berisiko menjadi kebakaran besar. Kami juga memahami bahawa banyak daripada rumah kedai ini mempunyai penghuni di dalamnya dan ini menuntut keprihatinan yang amat besar.
Kami tertanya-tanya jika Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dihubungi mengenai pemasangan kanopi terutama sekali apabila keselamatan terhadap kebakaran adalah menjadi keutamaan.
Kenapa pelbagai pihak cuba untuk mengelakkan daripada kanopi itu dikeluarkan daripada tempatnya?
Kenyataan Akhbar, 10 Oktober 2017