Walaupun penyakit Covid-19 pada masa ini sedang melanda negara kita, banyak negeri masih mengekalkan bahawa bazar Ramadan akan dibenarkan untuk beroperasi. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menentang sepenuhnya sebarang operasi bazar Ramadan pada tahun ini memandangkan ia akan menggagalkan tujuan penjarakkan sosial yang diamalkan dan meletakkan nyawa orang ramai dalam risiko.
Ramadan yang akan bermula akhir April ini (24 April 2020) dan menurut Kementerian Kesihatan serta pakar pihak ketiga akan terdapat peningkatan dalam kes Covid-19 pada pertengahan April seperti yang diramalkan penyakit ini akan mencapai puncaknya di Malaysia ketika itu. Bagaimanapun, berapa lamakah puncak penyakit berjangkit itu akan berakhir? Ia mungkin sehari atau seminggu atau lebih lama daripada itu. Garis masa antara puncak yang diramalkan dalam kes Covid-19 di negara kita dan permulaan Ramadan amat dekat sekali.
Selanjutnya, alasan bahawa kerajaan memikirkan mengenai kebajikan penduduk bandar dengan membiarkan bazar Ramadan dijalankan seperti biasa adalah amat lemah. Jika kerajaan bimbang mengenai penduduk bandar yang tidak mempunyai masa untuk memasak selepas pulang daripada kerja, maka terdapat perkara lain lagi yang boleh dilakukan seperti menyediakan sistem penyediaan makanan (catering) bagi penduduk bandar. Kerajaan juga boleh menyediakan mereka dengan bantuan kewangan supaya mereka dapat membuat pesanan daripada perkhidmatan penghantaran makanan. Penting bagi kerajaan untuk memikirkan cara terbaik untuk membantu penduduk bandar bagi membolehkan mereka mengurangkan sentuhan antara satu sama lain.
Bagi mereka yang percaya bahawa sejak restoran masih dibenarkan untuk beroperasi maka bazar Ramadan juga harus dibenarkan untuk beroperasi, tetapi adalah tidak tepat untuk membandingkan dua perkara itu. Situasi bazar Ramadan lebih kepada seperti pasar basah dan pasar malam berbanding restoran. Biasanya terdapat bilangan yang besar orang ramai bergerak di kawasan itu pada masa yang sama. Malah jika pihak berkuasa meletakkan sekatan di tempat itu ia tidak menjamin ia akan diikuti. Kita dapat melihat perkara ini berlaku dengan jelas di beberapa pasar basah yang terpaksa ditutup memandangkan ia tidak mematuhi sekatan yang ditetapkan. Terdapat kemungkinan yang lebih besar perkara ini akan berlaku di bazar Ramadan jika ia dibenarkan beroperasi.
Memandangkan wabak Covid-19 ini, CAP menggesa Kerajaan Malaysia supaya mengharamkan semua bazar Ramadan pada tahun ini dan mewujudkan satu cara yang lebih baik untuk membantu penduduk bandar ketika Ramadan tahun ini. Sebagai tambahan, kerajaan perlu membantu peniaga bazar Ramadan yang akan kehilangan sumber pendapatan utama mereka tahun ini dengan memasukkan mereka ke dalam pakej rangsangan ekonomi Covid-19.
Jika kerajaan boleh membuat keputusan penting untuk mengharamkan solat Jumaat di Masjid untuk keselamatan kita semua, maka sudah tentu mereka boleh mengharamkan bazar Ramadan yang kurang penting.
Kenyataan Akhbar 2 April 2020