Pada 6 Julai 2020, akhbar Berita Harian melaporkan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Khairil Anwar Abu Kassim, menggesa Kerajaan agar mengharamkan penjualan aksesori kereta yang berisiko membahayakan, terutama jika berlaku kemalangan.
Menurut Berita Harian, salah satu aksesori yang dimaksudkan adalah dummy buckle yang pada asalnya dipasang untuk individu yang bertubuh besar, namun telah disalahgunakan oleh mereka yang enggan memakainya ketika memandu. Dengan memasukkan dummy buckle itu ke buckle tali keledar di tempat duduk, pemandu boleh mengelak dari mendengar bunyi bising yang dikeluarkan oleh kereta moden jika mereka tidak memakai tali pinggang keledar.
MIROS telah mengesahkan bahawa bunyi penggera amaran dummy belt di tempat duduk tidak akan mengaktifkan bag udara jika terdapat kesan perlanggaran ketika kemalangan.
Tinjauan terbaharu CAP mendapati dummy buckle ini dijual di merata tempat terutama di kedai aksesori kenderaan dengan harga serendah RM3.00 hingga RM8.00.
Tali pinggang keledar tempat duduk kenderaan merupakan salah satu ciptaan keselamatan yang penting dalam soal keselamatan jalan raya. Ia paling berkesan terutama apabila berlaku perlanggaran secara berdepan dengan hampir 50% pengurangan risiko kematian dan kecederaan serius kepada pemandu dan penumpang di kerusi hadapan.
Setakat ini belum ada undang-undang yang melarang penjualan produk seumpamanya. Sehubungan itu CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan penjualan produk seperti dummy buckle di pasaran.
Kenyataan Akhbar, 30 Disember 2020