SAM melancarkan laporan “Kesan-Kesan Penambakan Laut di Malaysia”
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Malaysia untuk membatalkan semua cadangan projek penambakan laut di Malaysia. Gesaan ini adalah berdasarkan kepada kajian dan hasil tinjauan SAM yang mendapati masyarakat persisiran pantai dan eksosistem laut adalah terjejas akibat projek penambakan laut. Projek penambakan juga menjejas hak dan sumber pendapatan nelayan.
Terbitan baru SAM bertajuk “Kesan-Kesan Penambakan Laut di Malaysia” membutirkan kesan-kesan ke atas biologi, sosio-ekonomi, fizikal, sosio-kebudayaan dan lain-lain impak penambakan, dengan menengahkan beberapa kes di Malaysia. Kajian SAM mendapati bahawa pembangunan di persisiran pantai dan projek tambakan telah merompak penggunaan serta akses nelayan dan komuniti kepada sumber persisiran pantai dan laut.
Beribu-ribu hektar kawasan menangkap ikan dan habitat marin telah hilang kerana kegilaan untuk penambakan. Projek penambakan telah dicadangkan atau dijalankan di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Pahang dan Kelantan. Sebagai contoh di Pulau Pinang, kerajaan negeri bercadang untuk menebusguna 4,500 ekar kawasan laut di selatan pulau ini, dengan mengabaikan kehidupan masyarakat nelayan dan sumber marin di sini.
Perlombongan pasir laut dan batu agregat yang digunakan untuk pembangunan dan penambakan juga meningkat dengan ketara, memberi kesan kepada flora dan fauna dasar laut. Berjuta-juta tan pasir dan batu-batan perlu dilombong untuk mewujudkan tanah baru.
Pengorekan dan pengeluaran agregat dari zon benthik (dasar laut) memusnahkan organisma, habitat serta ekosistem dan amat memberi kesan kepada komposisi biodiversiti. Kajian menunjukkan bahawa ini membawa kepada penurunan bersih dalam kepadatan dan kepelbagaian fauna atau perubahan dalam komposisi spesies.
SAM akan mengemukakan terbitan ini kepada ahli Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) untuk membatalkan semua projek-projek penambakan yang dicadangkan di negara ini dan khususnya projek Penang South Reclamation (PSR). Penyerahan ini adalah sebagai maklumbalas kepada kenyataan minggu lepas oleh Exco negeri Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo bahawa projek PSR akan dibentang di MPFN pada April ini.
Cadangan projek PSR yang melibatkan pembuatan tiga pulau yang merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur ke sekitar Permatang Damar Laut, tidak diperlukan sama sekali. Sebab utama projek PSR dicadangkan adalah untuk mewujudkan bank tanah untuk membiayai Rancangan Induk Pengangkutan (PTMP) Pulau Pinang yang merupakan satu lagi projek yang tidak wajar.
Kerajaan Negei Pulau Pinang seolah-olah meredah untuk mendapat kelulusan bagi cadangan projek ini. Minggu lalu Ketua Pengarah PLANMalaysia Datuk Rokibah Abdul Latif dipetik menyatakan projek PSR tidak dibentangkan lebih awal kepada MPFN kerana Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) tidak dikemaskini. Menjawab dengan serta-merta, Jagdeep telah menyatakan draf RSNPP 2030 berada di peringkat akhir dan hampir diwartakan.
Pendengaran mengenai maklum balas awam ke atas RSNPP2030 masih belum dijalankan dan kami bimbang sekiranya sesi ini diadakan ia hanya semata-mata untuk memenuhi kewajipan. Kami khuatir bantahan yang telah dikemukakan oleh orang awam tidak akan dipertimbangkan serius dan pindaan draf RSNPP 2030 tersebut dilakukan.
Di samping itu terdapat persoalan pembiayaan projek PSR. Menteri Kewangan minggu lalu mendedahkan bahawa hutang dan liabiliti kerajaan persekutuan masih berlegar sekitar RM1 trilion. Ia tidak arif untuk kerajaan Persekutuan menyalurkan apa-apa dana kepada Kerajaan Negeri untuk projek yang tidak diperlukan. Mendapatkan pinjaman sama ada dari sumber tempatan atau luaran akan menambah lagi hutang negara.
Selain membazirkan dana dan sumber semula jadi, PSR akan memberi impak besar kepada perikanan. Aktiviti perikanan dijalankan secara meluas dalam kawasan PSR yang dicadangkan serta di laut sekitarnya. Projek penambakan yang dicadangkan akan memberi kesan kepada rantaian makanan lautan dan industri perikanan kerana kehilangan dataran lumpur. Kehilangan habitat persisiran pantai disebabkan cadangan projek ini merupakan tamparan hebat bagi alam sekitar di sini.
Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) cadangan projek PSR melaporkan bahawa nilai harga borong ikan yang didarat di kawasan kajian dianggarkan bernilai RM42.09 juta, iaitu 12.4% daripada keseluruhan nilai harga borong ikan dari bahagian Pulau. Ditambah dengan aktiviti sokongan dan hiliran, sektor perikanan berjuta-juta ringgit yang beribu-ribu orang bergantung kepada sedang diperagakan untuk pembangunan. Ikan akan pupus dan tidak lama lagi nelayan juga akan lenyap kerana kehilangan kawasan penangkapan. Adakah ini matlamat kerajaan negeri?
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kow Yeow dilaporkan menyatakan bahawa wawasan Pulau Pinang 2030 mesti dapat menilai ujian kebajikan rakyat. “Sekiranya projek ini tidak meningkatkan kebajikan rakyat, mungkin kita perlu fikirkan semula,” kata beliau. Kami berharap Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri akan mengkaji semula cadangan projek dan sedar bahawa projek PSR ini akan membawa impak negatif kepada penduduk dan alam sekitar.
Dengan ini SAM menggesa pihak bertanggungjawab untuk membatalkan cadangan projek Penang South Reclamation dan semua projek penambakan lain yang dirancang di Malaysia.
Hentikan Perampasan Laut!
Kenyataan Media, 27 Februari 2019