Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Johor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang di sini sehingga mengancam kesihatan para pelajar dan pekerja kantin sekolah di kawasan itu kelmarin.
Dalam kejadian ini dilaporkan sejumlah 35 mangsa mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan setelah terhidu bahan kimia dipercayai jenis metana yang dibuang ke dalam sungai tersebut.
SAM berpendapat hukuman berat wajar dikenakan ke atas pihak yang terlibat setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan kerana kesan perbuatan ini ke atas alam sekitar dan kesihatan orang ramai adalah amat serius.
Di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun boleh dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah melakukan pencemaran ini.
SAM kesal dan bimbang dengan kejadian itu kerana bahan pencemar tersebut bukan saja menjejaskan kualiti air sungai terbabit dan hidupan di dalamnya malah boleh meragut nyawa manusia jika gagal dikawal dengan berkesan.
Selain pelajar sekolah, penduduk-penduduk yang tinggal di Taman Pasir Putih dan Kota Masai berdekatan Sungai Kim Kim di kawasan itu juga merasa terjejas kesihatan mereka dan bimbang dengan kejadian pencemaran bahan kimia ini
Justeru itu SAM berharap siasatan terperinci dan menyeluruh dapat dilakukan oleh kerajaan negeri dan jabatan yang terlibat bagi mengenal pasti pihak yang melakukan kesalahan dan melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Hasil siasatan dan tindakan yang diambil perlu didedahkan kepada umum bagi meredakan kebimbangan penduduk-penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian dan mengetahui langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah itu.
SAM juga menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan pemantauan dengan lebih kerap dan berterusan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang pada masa akan datang.
Kenyataan Media, 8 Mac 2019