Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa amat bimbang apabila mengetahui bahawa Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China telah mengesyorkan penggunaan hempedu beruang dalam rawatan kes COVID-19 yang teruk dan kritikal.
Langkah ini merupakan tamparan hebat bagi para pelindung alam di seluruh dunia kerana pada 24 Februari, China telah mengumumkan larangan perdagangan hidupan liar yang menyeluruh dan melarang penjualan hidupan liar untuk makanan, dengan alasan risiko penyakit merebak dari haiwan ke manusia berikutan kemunculan coronavirus novel yang telah melanda seluruh dunia.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China dalam mengesyorkan rawatan untuk koronavirus yang merangkumi hempedu beruang menyoroti pendekatan bertentangan terhadap hidupan liar iaitu dalam menghentikan perdagangan haiwan hidup untuk makanan di satu pihak dan sebaliknya mempromosikan perdagangan bahagian haiwan untuk tujuan lain.
Belajar dari pembelajaran daripada COVID-19 adalah lebih penting untuk menghentikan penggunaan bahagian hidupan liar dalam perubatan, contohnya dari spesies yang terancam seperti beruang.
Memang sangat tidak bertanggungjawab untuk terus mempromosikan ubat-ubatan yang mengandungi bahagian hidupan liar dalam era kehilangan biodiversiti, termasuk dalam perdagangan haram hidupan liar terutamanya spesies terancam.
Tinjauan terbaru yang dilakukan di China menunjukkan sebahagian besar responden menentang penggunaan hidupan liar dalam perubatan. Penggunaan hidupan liar secara bersinambungan dalam perubatan tradisional hanya akan mendorong permintaan terhadap hidupan liar yang terancam.
Promosi hempedu beruang cenderung untuk meningkatkan jumlah yang digunakan, yang menjejaskan bukan hanya beruang tawanan tetapi juga spesies liar, membawa kepada ancaman spesies yang sudah terancam di Asia dan di seluruh dunia.
Sasaran utama perdagangan hempedu beruang-beruang hitam Asia (Ursus thibetanus) yang juga dikenali sebagai beruang bulan, yang disenaraikan sebagai vulnerable dalam Senarai Merah IUCN. Tidak banyak yang diketahui mengenai jumlah populasinya, walaupun hanya 25,000 yang mungkin hidup di alam liar dan ia pasti telah hampir pupus di kebanyakan habitat biasanya dan populasi semakin merosot di mana ia masih ada. Perdagangan ini juga menyasarkan beruang matahari (Helarctos malayanus) – juga terancam – dan pelbagai subspesies beruang coklat.
Pemburuan berlebihan, digabungkan dengan kehilangan habitat yang besar, telah menyebabkan pemusnahan sepenuhnya beberapa populasi dan kemerosotan populasi spesies lain.
Walaupun hempedu beruang diambil dari ladang ternakan beruang di China, ini tidak akan mengurangkan tekanan pada populasi beruang liar. Sebabnya ialah pembiakan beruang sangat mahal, sedangkan harganya lebih rendah dan lebih mudah untuk menangkap beruang dari liar untuk diternak di ladang dengan perolehan yang tinggi. Tambahan, ada pengguna yang lebih suka hempedu beruang dari haiwan liar, kerana mungkin menganggapnya lebih tulin atau kerana kebimbangan mengenai keadaan di ladang beruang.
Memandangkan Beijing telah menyetujui penggunaan hempedu beruang dalam rawatan COVID-19, kami bimbang akan berlaku peningkatan dalam insiden pemburuan haram. Kajian terbaru yang dilakukan menunjukkan bahawa pemburu haram menyasarkan beruang matahari, yang dicari oleh pengamal perubatan Cina, di Sabah dan Sarawak.
Tambahan lagi, saranan dan amalan dari China ini cenderung mendorong pengamal perubatan tradisional di luar China untuk mengikutinya dan mempromosi hempedu beruang sebagai penawar COVID-19. Pengguna yang terdesak mudah terpengaruh.
Kebimbangan utama yang lain adalah kekejaman dan penyeksaan di dalam ladang ternakan beruang dan fasiliti hempedu, yang keadaannya seperti rumah seram. Terdapat kira-kira 20,000 beruang ditahan di kandang kecil dalam keadaan kejam di seluruh China untuk memenuhi permintaan dari pembekal ubat tradisional.
Kumpulan kebajikan haiwan melaporkan bahawa keadaan memang mengerikan di mana ribuan beruang bulan (moon bear) berada dalam kesakitan yang berterusan dan penderitaan di dalam sangkar yang tidak besar dari keranda. Mereka terpaksa menghadapi tindakan kasar dan kejam dalam pengambilan hempedu dari kateter berkarat, jaket logam dengan paku leher, pam ubat dan lubang terbuka yang digerudi ke dalam abdomen mereka, yang mudah dijangkiti. Aktivis hak haiwan berpendapat bahawa keadaan seperti itu mudarat kepada psikologi beruang.
Ada beruang yang dimasukkan ke dalam kandang sejak kecil dan tidak pernah dilepaskan. Sebilangan besar beruang ternakan berada dalam kelaparan, kehausan dan menderita dengan pelbagai penyakit dan tumor malignan yang akhirnya membunuhnya. Sekiranya beruang hidup cukup lama, yang mana jangka hayatnya pendek di sini, hempedu mereka diperah selama beberapa dekad. Setelah 10-20 tahun apabila beruang berhenti menghasilkan hempedu yang cukup, mereka kemudian dibunuh dan bahagian badannya dijual.
Ketika dunia dilumpuhkan oleh pandemik koronavirus, risiko kesihatan awam dan alam sekitar dari perdagangan hidupan liar mendapat perhatian ramai. Inilah waktu yang paling baik untuk mengakhiri penggunaan bahagian-bahagian hidupan liar dalam perubatan.
Dengan berbuat demikian, negara China dapat menunjukkan kepada dunia komitmennya untuk menjadi pemimpin tulen dalam pemuliharaan.
Surat Kepada Pengarang, 20 April 2020