Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat gembira apabila mendapati Kerajaan Indonesia memutuskan untuk mengabaikan rancangan mereka bagi projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR).
Malaysia juga telah membuat rancangan untuk membangunkan projek HSR yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jurong East di Singapura.
Pada Mei tahun ini, CAP dengan jelas menyatakan pendirian membantah projek ini dijalankan di Malaysia kerana beberapa alasan dan kami masih berpegang kepada pendirian oleh kepercayaan kami. Beberapa alasan yang kami kemukakan sebelum ini termasuklah kosnya yang amat tinggi, penempatan semula secara besar-besaran, kemungkinan besar tidak menguntungkan dan fakta bahawa ini merupakan projek yang akan memakan masa yang lama, dan sebagainya.
Untuk menambah kepada senarai alasan yang diberikan di atas, kami mengemukakan satu lagi alasan yang amat baik bahawa Kerajaan Indonesia membatalkan rancangan projek HSR ialah keretapi laju itu tidak akan mencapai kelajuan sepenuhnya (300km/ph). Projek HSR Indonesia dicadangkan memiliki jalan keretapi sejauh 763km yang menghubungkan Jakarta dan Surabaya. Jalan keretapi kita hanya 400km panjang dan akan terdapat 5 hentian antara Kuala Lumpur dan Jurong East – Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya. Jika Kerajaan Indonesia percaya bahawa mereka tidak akan menggunakan sepenuhnya HSR yang dirancang itu maka bagaimana pula dengan kita?
Kami sekali lagi ingin mengulangi pendirian kami bahawa Kerajaan Malaysia seharusnya mempertimbangkan semula projek HSR dan memberikan tumpuan kepada mempertingkatkan dan mengembangkan sistem keretapi yang sedia ada. Dana yang diperuntukan bagi projek HSR boleh digunakan untuk meningkatkan sistem itu, ditambah pula dengan membiayai projek lain yang boleh memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat.
Surat Kepada Pengarang, 15 September 2015