Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut mendapati bahawa beberapa jenama sardin yang ditinkan tercemar dengan cacing sekali lagi ditemui di pasaran Malaysia.
Pada pertengahan April tahun ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan dua jenama sardin dalam tin yang diimport dari China dan dijual di Malaysia tercemar dengan cacing mati. Lebih kurang dua bulan kemudian, enam lagi jenama sardin dalam tin ditemui mengandungi parasit nematodes, Anisakis spp – parasit yang boleh menyebabkan Anisakiasis pada manusia jika dimakan.
Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa mereka telah menarik balik enam jenama sardin dalam tin daripada pasaran.
Bagaimanapun, ini bukanlah berakhirnya perkara ini kerana masih terdapat beberapa isu yang perlu dipertimbangkan.
Contohnya, bagaimana pihak Kementerian akan memastikan pihak pemilik kedai yang tidak puas hati, tidak terburu-buru untuk menjual jenama tin sardin yang tercemar ini kepada pengguna yang tidak menyedari keadaan ini untuk mengelakkan daripada mengalami kerugian?
Atau bagaimana boleh berlakunya insiden kedua di mana sardin dalam tin tercemar dengan cacing parasit di negara kita?
Kejadian ini dengan jelas menunjukkan bahawa memakan makanan proses dalam tin seperti ini tidak hanya buruk bagi kesihatan kita dari sudut nutrisi tetapi juga apabila ia melibatkan keselamatan. Kita tidak tahu bagaimana makanan ini “diproses”.
Sehubungan itu, kami menggesa orang ramai untuk tidak mengambil makanan proses dalam tin dan mengamalkan mengambil makanan tulen semula jadi. Tiada keperluan untuk membeli sardin dalam tin apabila ikan sardin sebenarnya sejenis ikan yang boleh dibeli secara segar di negara ini.
Kenyataan Akhbar, 29 Jun 2018