Sejak beberapa hari lalu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendapati masalah jerebu yang serius berlaku lagi di Pulau Pinang dengan jarak padangan yang amat buruk.
Kami tertanya-tanya kenapa jerebu berlaku dan SAM ingin mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai keadaan kualiti udara di Pulau Pinang.
Dengan kadar suhu yang amat tinggi sejak beberapa minggu di kawasan ini dengan 30 darjah Celsius dan lebih dengan ketiadaan hujan, jerebu kelihatan kembali semula.
Adakah kebakaran hutan berlaku semula di Indonesia atau adakah kebakaran berlaku di kawasan utara yang menyumbang kepada jerebu?
Orang ramai perlu dimaklumkan mengenai paras kualiti udara supaya langkah berhati-hati yang perlu boleh diambil. Tidak cukup sekadar menyiarkan bacaan indeks pencemaran udara dalam laman sesawang JAS tetapi mestilah juga diberikan penjelasan maksud bacaan itu dan apakah sumber pencemaran itu.
Kami juga ingin mengetahui apakah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan pihak berkuasa Negeri lakukan berhubung isu jerebu dan kemerosotan kualiti udara di Pulau Pinang.
Kekurangan maklumat berhubung perkara ini amat membimbangkan dan mengganggu.
Siaran Akhbar, 5 Julai 2019