
Pada 26 Disember 2025, sempena Bulan Sisa Sifar Antarabangsa pada Januari, tiga puluh pelajar sekolah menengah dan tiga guru dari Bidor, Perak melawat pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada pendidikan alam sekitar secara praktik, terutamanya mengenai prinsip sisa sifar, pengeluaran makanan yang mampan, penggunaan tanpa plastik dan tingkah laku pengguna yang bertanggungjawab, melalui contoh kehidupan sebenar.

Program dimulakan dengan sesi perkongsian oleh salah seorang guru iaitu Periasamy Perumalu yang bercakap mengenai hubungan beliau yang telah lama terjalin dengan CAP. Beliau berkongsi bahawa sejak berumur 13 tahun, beliau telah membaca surat khabar Utusan Konsumer terbitan CAP, yang banyak mempengaruhi beliau untuk mengubah gaya hidup dan mengamalkan amalan hidup yang lebih sihat.
Sesi kemudiannya diteruskan dengan pembentangan oleh N. V. Subbarow, Pegawai Pendidikan Kanan CAP. Beliau menjelaskan mengenai rangkaian antarabangsa CAP, capaian globalnya, dan bagaimana cara pertubuhan itu diiktiraf di seluruh dunia kerana visinya yang kukuh dalam perlindungan pengguna dan alam sekitar.

N. V. Subbarow turut menggalakkan pelajar untuk berhubung semula dengan alam semula jadi, terutamanya melalui amalan pertanian asli. Beliau menjelaskan bahawa racun makhluk perosak adalah berbahaya kerana ia bukan sahaja membunuh makhluk perosak tetapi juga serangga yang bermanfaat, dan menegaskan bahawa serangga tidak beracun perlu dilindungi secara semula jadi. Beliau seterusnya menekankan bahawa pengambilan hasil yang disembur dengan racun makhluk perosak boleh membawa kepada masalah kesihatan jangka panjang dan juga keracunan yang boleh membawa maut.

N. V. Subbarow juga berkongsi maklumat mengenai program CAP yang akan datang berkaitan dengan pertanian asli dan inisiatif sisa sifar. Beliau menasihatkan pelajar untuk mengurangkan penggunaan plastik, menjelaskan bahawa mikroplastik kini ditemui hampir di mana-mana, termasuk dalam makanan. Beliau memberikan panduan mengenai bagimana cara untuk membebaskan diri daripada plastik.
Beliau turut menekankan kepada pelajar bagi mengelakkan penggunaan berlebihan bahan putih seperti garam, gula, dan tepung, kerana penggunaan berlebihan boleh menyebabkan penyakit.
Selain itu, beliau mempamerkan pelbagai barangan berkaitan rokok, vape, dan gula-gula dan mainan berbentuk tidak sesuai yang terdapat di pasaran, sambil menegaskan bahawa produk ini perlu diharamkan kerana bahayanya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Beliau juga bercakap mengenai kebaikan herba dan menggalakkan untuk memasukkannya ke dalam makanan harian.

Dalam sesi interaktif bersama pelajar, N. V. Subbarow memperkenalkan cacing tanah dan menjemput pelajar untuk menyentuhnya. Sesi interaksi menjana minat yang kuat dalam kalangan pelajar, menggalakkan rasa ingin tahu, penyertaan aktif, dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai keseimbangan ekologi, kesihatan tanah, dan kitaran sisa semula jadi.
Beliau juga turut menunjukkan bagaimana cara menyediakan baja yang baik, cara untuk menghidupkan semula tumbuhan yang mati, dan kaedah untuk membuat penghalau makhluk perosak semula jadi. Sisa dapur juga boleh dikompos dan digunakan di kebun dan bukannya membuangnya dalam tong sampah. Melalui usaha ini, selain mendapatkan baja asli kita juga dapat mengalihkan sekurang-kurangnya 40 peratus sisa daripada masuk ke tapak pelupusan sampah.
Buku-buku mengenai pertanian asli, gaya hidup sihat, sisa sifar dan tajuk berkaitan kepenggunaan dan alam sekitar kemudiannya diedarkan kepada para pelajar untuk menyemarakkan lagi minat mereka dan menggalakkan mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat dan hijau.
Ceramah ini memberikan peringatan yang tepat pada masanya memandangkan sisa sifar bukan sekadar konsep untuk sebulan, tetapi komitmen jangka panjang yang bermula dengan pilihan individu dan akauntabiliti bersama.
Sisa Sifar adalah cita-cita tinggi tetapi ia boleh dicapai. Era budaya pakai buang mesti berakhir. Kami menggesa kerajaan dan pelabur untuk menghentikan subsidi sistem pengeluaran sekali guna dan mengutamakan pembinaan infrastruktur guna semula yang sangat diperlukan oleh planet kita.
#IZWM2026 #InvestInZeroWaste #ChooseReuse #RefuseSingleUse

